Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga (KWK) yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menggandakan kempen ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ dengan lebih agresif dan radikal.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tindakan segera yang bakal diambil adalah mendidik ibu bapa dan keluarga untuk menangani krisis rumah tangga.

“Sakit hati bercampur sedih melihat data dan mendengar laporan kes-kes jenayah seksual, penderaan, dan keganasan rumah tangga terhadap kanak-kanak dan wanita di Malaysia.

“Saya telah minta Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) agar menggandakan lagi aktiviti kempen ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ dengan lebih agresif dan radikal,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut mengarahkan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Bahagian Kanak-kanak meningkatkan lagi usaha khususnya melibatkan Kaunselor dan Pegawai Pelindung.

Terdahulu Siti Zailah memaklumkan mendengar pembentangan mengenai keganasan rumah tangga dan penderaan yang dibuat oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah PDRM sewaktu ketika melawat Child Interview Centre (CIC).

Zailah turut menyeru semua rakyat agar bersama-sama Kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kes-kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. – MalaysiaGazette