Bekas Komandan Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin (kiri) ketika hadir untuk didakwa berkaitan isu pecah amanah di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 23 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan dan seorang bekas komandan Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah di sini atas empat kesalahan pecah amanah melabur dalam syarikat kewangan tidak sah.

Ia membabitkan wang milik tabung kebajikan akademi berjumlah hampir RM1 juta pada tahun 2016.

Tertuduh pertama, Leftenan Kolonel Azman Mohamad Yasin, 57, berjawatan Pengarah Akademi Latihan Ketenteraan di UPNM dan tertuduh kedua bekas Komanden, Brigadier Jeneral (Bersara) Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin, 63.

Pengarah Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Azman Mohamad Yasin ketika hadir untuk didakwa berkaitan isu pecah amanah di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 23 NOVEMBER 2020.

Bagaimanapun kedua-duanya mengaku tidak bersalah ke atas kesemua tuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sesyen Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan pertama, Azmin dan Mohamad Adkaa menggunakan kapasiti mereka di UPNM yang telah diamanahkan ke atas harta tertentu iaitu dana bagi akaun tabung kebajikan akademi melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta iaitu dengan curangnya membuat pembayaran berjumlah RM500,000 untuk suatu pelaburan melalui institusi kewangan tidak berdaftar atau tidak sah.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan denda.

Mereka didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu antara 3 Ogos dan 23 September 2016 di akademi UPNM Kem Perdana Sungai Besi.

Dalam pertuduhan pertama pilihan pula mereka turut didapati dengan curangnya telah menyalahgunakan harta iaitu wang sejumlah RM500,000 kepunyaan Tabung Kebajikan Akademi iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan juga denda.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Azman dan Mohamad Adkaa turut dituduh menggunakan kedudukan sama melakukan pecah amanah jenayah berkaitan garta tersebut iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM420,000 untuk pelaburan melalui institusi kewangan tidak berdaftar atau tidak sah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan juga denda.

Dalam pertuduhan kedua pilihan didakwa menyalahgunakan harta iaitu RM420,000 kepunyaan Tabung Kebajikan Akademi iaitu satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan sebatan atau denda.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nurshafini Mustafha dan Nor Diana Nor Azwa manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguambela, Amiraizat B.Abdul Rani dan Nor Asyikin Zakaria.

Nurshafini dalam hujahnya mencadangkan mahkamah wang jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua tertuduh serta syarat tambahan pasport perjalanan masing-masing perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai kes perbicaraan selain perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun Amiraizat yang mewakili Azman menyeru mahkamah supaya mengurangkan jumlah wang jaminan dengan alasan anak guamnya berusia 57 tahun yang masih berkhidmat dalam tentera dan mempunyai tanggungan tiga daripada empat anak yang masih bersekolah dan isterinya seorang guru sekolah.

“Yang Arif untuk makluman mahkamah tertuduh juga mengalami komplikasi sakit jantung dan pernah dirawat di Institut Jantung Negara selain dikehendaki menjalani rawatan susulan atas nasihat doktor.

“Walaupun tertuduh berjawatan dalam tentera, beliau tidak mempunyai sumber pendapatan lain selain gaji bulanan yang sedang diterima ketika ini selain sedang menjalani perbicaraan kes sama di Mahkamah Tentera.

“Malah beliau turut mempunyai tanggungan ibu berusia 75 tahun yang masih sakit lumpuh dan mencadangkan agar dibenarkan wang jaminan antara RM15,000 hingga RM20,000 dan tiada bantahan untuk syarat tambahan yang dicadangkan,” katanya.

Justeru pegumbela Mohamad Adkaa iaitu Nor Asyikin dalam hujah beliau menyeru mahkamah supaya mengenakan jumlah jaminan minimum memandangkan anak guamnya hanya membawa wang RM15,000 bersama untuk dijamin dan kekangan Covid-19 dan pelaksanaan PKPB akan menyukarkan mencari dana untuk membayar wang jaminan ketika ini.

“Yang Arif, anak guam saya seorang pesara berusia 60 tahun yang mana menanggung kos rawatan isterinya yang mempunyai masalah jantung lemah dan dirawat di IJN sementara anaknya masih menuntut dalam pengajian pergigian di universiti terkemuka India.

“Beliau menyara kehidupan dan segala tanggungan berdasarkan wang pencen dan tiada sebarang sumber pendapatan lain ketika ini.

“Justeru beliau juga telah membayar wang reman RM10,000 kepada SPRM semasa direman sekitar Februari 2020 dan tidak pernah gagal melaporkan diri untuk membantu siasatan sehingga kini,” rayu beliau.

Tetapi Nurshafini sekali lagi bangun menegaskan, jumlah wang jaminan yang dicadangkan terhadap kedua-dua tertuduh adalah relevan dan membabitkan kesemua empat pertuduhan termasuk pertuduhan pilihan selain ia gambaran satu kesalahan serius mengambil kira kedudukan tertuduh ketika kejadian dan kesalahan dilakukan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mahyon membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dengan wang berjumlah RM80,000 dengan seorang penjamin serta dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga selesai kes dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran bermula awal setiap bulan.

Bagi Mohamad Adkaa, Mahyon membenarkan tertuduh membayar wang jaminan RM15,000 pada hari ini dan bakinya RM65,000 perlu dijelaskan sebelum 5 Disember ini seterusnya menetapkan tarikh 22 Disember sebagai tarikh sebutan dan serahan dokumen kes. – MalaysiaGazette