Elon Musk
Elon Musk

KUALA LUMPUR – Elon Musk kini menjadi individu kedua paling kaya di dunia.

Dengan nilai kekayaan sebanyak AS$127.9 bilion, usahawan berusia 49 tahun itu telah melepasi kekayaan Bill Gates.

Nilai bersih kekayaannya melonjak sebanyak AS$ 7.2 bilion menjadi AS$127.9 bilion, didorong oleh kenaikan harga saham Tesla.

Musk telah menambah sejumlah AS$100.3 bilion untuk kekayaan bersihnya tahun ini, tertinggi dalam Indeks Billionaires Bloomberg, ranking 500 individu terkaya di dunia.

Pada bulan Januari lalu beliau menduduki tempat ke-35.

Kekayaan banyak didorong oleh Tesla, yang nilai pasarannya mendekati AS$ 500 bilion.

Kira-kira tiga perempat dari kekayaan bersihnya terdiri daripada saham Tesla, yang bernilai lebih dari empat kali ganda daripada sahamnya dalam Space Exploration Technologies atau SpaceX.

Tesla ditutup 6.5 peratus lebih tinggi kepada AS$521.85.

Setahun yang lalu, nilainya sekitar AS$67.

Pengasas bersama Amazon, Jeff Bezos pula kekal sebagai individu terkaya dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$182 bilion.

Manakala kekayaan Gates pula berjumlah AS$127.7 bilion.

Gates telah mengungguli kedudukan sebagai individu terkaya di dunia selama 13 tahun sebelum dirampas oleh Bezos pada tahun 2017. – MalaysiaGazette