KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua suspek lelaki yang telah meragut dua utas rantai emas seorang wanita yang menjadi mangsa dalam kejadian di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Setapak dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail dalam kenyataan malam tadi berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 8.47 malam.

Katanya, semasa kejadian, mangsa sedang berurusan di kaunter farmasi sebelum didekati salah seorang suspek dari arah belakang dan kemudian merentap rantai emas dari leher mangsa.

Suspek kemudiannya menumbuk muka mangsa dan berjaya melarikan dua rantai emas anggaran bernilai RM10,000.

“Semakan polis pada kamera litar tertutup di farmasi mendapati pergerakan dua lelaki disyaki suspek kejadian dirakam namun tidak dapat dikenal pasti.

“Kedua-dua suspek lelaki memakai pelitup muka dan mereka didapati berjaya meloloskan diri menaiki sebuah kereta Perodua Myvi menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Usaha memburu dan menangkap kedua-dua suspek itu sedang dipergiatkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Rajab menyeru kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini segera menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Shahrizal Saleh di talian 017-713 4705.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Aisyah Mohd Nor di talian 013-933 8214 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-211 59999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan untuk membantu siasatan dan menangkap suspek yang kini dicari polis.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe dalam satu kenyataan hari ini pula mengesahkan dua suspek yang sama cuba meragut seorang wanita di hadapan sebuah Restoran Prima Sri Gombak pada hari yang sama.

“Namun suspek gagal dalam dalam kejadian pertama apabila pengadu perempuan berusia 38 tahun itu yang baru keluar dari restoran menjerit dan mengepit beg tangan dengan kuat.

“Suspek yang gagal ragut mangsa kemudian bertindak melarikan diri bersama rakannya yang tunggu di kereta Myvi warna Merah.

“Disebabkan gagal dalam cubaan kes pertama, kedua-dua suspek kemudian ke sebuah farmasi KLTS di Jalan Gombak Setapak sebelum meragut mangsa kedua melarikan rantai emas,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan cubaan samun membabitkan insiden di Restoran Prima Sri Gombak dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Khalpna atau ASP Kolanthai Velu di talian 03-612 6222 atau 019-257 9232. – MalaysiaGazette