Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Penarikbalikan pengecualian dasar kabotaj untuk menggunakan kapal asing bagi membaiki kerosakan kabel laut bukan dibuat secara unilateral, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 menjelaskan keputusan itu yang berkuat kuasa 15 November lepas telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada 13 November.

Malah katanya, perbincangan telah diadakan melibatkan pihaknya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Laut Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Telekom Malaysia, TIME dotCom Bhd dan Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Malaysia (MASA).

Menurut Wee, langkah berkenaan diambil antara lain bagi mengurangkan aliran keluar wang asing dalam bentuk bayaran fret atau perjanjian penyewaan kapal serta mengurangkan kebergantungan negara kepada kapal asing dengan meningkatkan penyertaan syarikat perkapalan tempatan dalam perkhidmatan domestik.

“Ia juga bagi membina kapasiti perkapalan domestik dan meningkatkan keupayaan dalam sektor perkhidmatan domestik, meningkatkan kepakaran teknikal melalui pembangunan sumber manusia dalam kalangan warga tempatan dan memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin dengan mengurangkan pengoperasian kapal asing di perairan Malaysia,” katanya.

Sebagai langkah alternatif, Wee berkata, kementeriannya telah membangunkan Sistem Elektronik DSL (eDSL) untuk memudahkan permohonan Lesen Perkapalan Dalam Negeri bagi membenarkan kapal asing melaksanakan aktiviti tertentu setelah MASA mengesahkan ketiadaan kapal tempatan yang boleh melaksanakan kerja-kerja dimohon oleh kapal asing tersebut.

“Pengecualian DSL dapat diproses dengan lebih cepat dan ianya secara langsung  telah mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut oleh kapal asing, sekiranya benar-benar perlu,” katanya.

Menjawab celahan Anthony Loke (DAP-Seremban) yang menyatakan keputusan pengecualian dasar kabotaj itu dilaksanakan ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pengangkutan sebelum ini disebabkan syarikat tempatan tidak mempunyai kapal jenis DP2 yang diperlukan untuk kerja sedemikian, Wee berkata maklumat berkenaan sedikit ‘outdated’ (ketinggalan zaman).

“Sudah ada syarikat dibawa sebagai ahli MASA yang boleh membuat kerja kerana mereka terbukti telah buat pembaikan sama di Indonesia, Singapura dan sebagainya saya boleh buat pengesahan nama dan syarikat,” katanya.

Beliau yakin kerja-kerja pembaikan kabel laut boleh dipendekkan sehingga 10 hari menggunakan syarikat tempatan berbanding tempoh diambil sebelum ini selama 27 hari. – BERNAMA