Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

KUALA LUMPUR – Pasukan keselamatan Malaysia dan Thailand menahan enam daripada 13 individu yang dipercayai melakukan serangan bersenjata api ke atas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Kawalan Sempadan Malaysia -Thailand di Padang Besar, Perlis awal pagi tadi menyebabkan seorang anggota PGA terbunuh.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, kesemua mereka yang ditahan adalah warga Thailand.

Katanya, dua suspek ditangkap oleh pasukan Pasukan Komanden 69 (VAT69) dan anggota PGA Batalion 3 di sempadan Padang Besar manakala polis Thailand berjaya menahan empat suspek yang mana tiga daripadanya tercedera akibat insiden serangan tersebut dengan seorang menerima rawatan di Hospital Hatyai dan dua lagi berada di Hospital Sadau.

Menurut Surina, suspek keempat adalah individu yang membantu ketiga-tiga suspek tercedera itu,

Tambah beliau, bagi mendapatkan apa yang sebenarnya berlaku di kawasan itu, pihaknya menunggu anggota PGA yang mengalami cedera parah itu sedar untuk diambil keterangan.

Katanya, siasatan polis mendapati kedua-dua anggota itu terlibat dalam tugas risikan di Pintu A3 pada jarak kira-kira 600 meter dari tembok sempadan yang disyaki laluan aktif penyeludup.

“Ketika itu dua anggota PGA ini terserempak dengan beberapa kumpulan penyeludup berjumlah 13 orang semuanya sebelum berlaku tembak menembak antara PGA dan kumpulan penjenayah itu.

“Akibat tembak menembak itu seorang anggota PGA mendapat kecederaan di bahagian perut dan seorang lagi di bahagian kiri perut.

“Mangsa kedua iaitu Koperal Baha (Baharuddun Ramli) disahkan meninggal dunia, anggota PGA lain bergegas ke lokasi serangan setelah dimaklumkan rakannya mengenai serangan itu.

“Semasa kejadian tembak, (kami) amat berbangga dengan keberanian ditunjukan kedua-dua anggota itu yang berdepan 13 oranhg penjenayah Thailand tanpa berundur ke belakang.

“Anggota kita sebelum meninggal dunia dalam kejadian itu telah meminta rakannya yang cedera di perut itu supaya mendapatkan bantuan pasukan daripada Pos PS 9 dan dalam masa singkat anggota tambahan bergegas ke lokasi serangan sebelum ditemui tidak bernyawa,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Dalam kejadian jam 3.05 pagi itu Koperal Norihan A/L Tari, 39, cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Tengku Fauziah, Kangar Perlis.

Mengulas lanjut, Surina berkata, kesemua penyeludup itu membawa 12 bungkus daun ketum yang beratnya antara 400 hingga 500 kilogram dan seguni ubat batuk.

Ujar beliau, polis akan menjalankan siasatan untuk memastikan kesemua suspek yang bertanggungjawab dalam insiden serangan itu ditangkap.

“Kita akan membuat kawat cam ke atas kesemua suspek yang ditahan ketika ini dan akan memburu baki tujuh lagi suspek dengan polis Thailand komited membantu kita sebaik-baiknya dalam insiden ini.

“Kita dengan bantuan polis negara jiran akan membawa empat suspek itu ke sini untuk mendapatkan keterangan dan siasatan lanjut,”jelasnya. – MalaysiaGazette