Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim memfailkan saman terhadap firma guaman Zaid Ibrahim & Co bagi memohon injunksi menghalang firma berkenaan daripada terus menggunakan namanya dalam amalan guaman.

Beliau turut menuntut mengembalikan nama firma itu kepadanya.

Mohd Zaid, yang juga peguam selaku plaintif, memfailkan saman menerusi Tetuan Suflan T H Liew & Partners melalui sistem e-pemfailan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 18 November lalu dengan menamakan firma guaman itu sebagai defendan tunggal.

Hasil semakan mahkamah, pengurusan kes ditetapkan pada 23 Disember depan di hadapan Timbalan Pendaftar Nurliana Ismail.

Dalam penyataan tuntutan, Mohd Zaid berkata, beliau menubuhkan firma guaman Zaid Ibrahim & Co pada 1987 dan beransur-ansur mengembangkan firmanya dengan memasukkan rakan kongsi termasuk Chew Seng Kok dan Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.

Katanya, sepanjang amalan guamannya, beliau memperoleh nama baik dalam firma tersebut khususnya bagi mendapatkan keanggotaan panel bersama dengan institusi kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehinggalah beliau meninggalkan firma selepas dilantik sebagai menteri pada 2008.

Mohd Zaid berkata, apabila meninggalkan firma, rakan kongsi yang lain mengambil alih dengan Chew memegang jawatan Rakan Kongsi Pengurusan dan Nik Norzrul sebagai Pengerusi Rakan Kongsi.

Plaintif itu berkata, beliau pada setiap masa material mengekalkan nama baik yang besar dalam profesion dan amalan guaman serta berniat untuk kembali mengamalkan amalan guaman pada 2018.

Justeru, beliau meminta Chew dan Nik Norzrul menghentikan penggunaan nama beliau dan mengembalikan nama amalam guaman itu kepadanya kerana hendak membangunkan amalan guaman sendiri.

Mohd Zaid berkata, oleh kerana defendan enggan berbuat demikian, beliau melalui peguamnya mengemukakan tuntutan melalui surat bertarikh 24 September lalu kepada defendan supaya berhenti menggunakan namanya.

Katanya, pada 5 Oktober lalu, defendan membuat tawaran kepadanya supaya menyertai semula amalan guaman di Zaid Ibrahim & Co sebagai rakan kongsi ekuiti sedia ada dan pengerusi bermula daripada 1 November lalu.

Mohd Zaid berkata, beliau menerima tawaran itu dan memasuki semula firma itu. Bagamanapun, katanya, semua kedudukannya dalam firma guaman itu ditamatkan serta-merta pada 9 November lalu.

Dakwa plaintif, dengan penamatannya daripada firma guaman terbabit, perkongsian itu telah dibubarkan dan defendan meneruskan amalannya sebagai firma baharu yang dibentuk tanpa plaintif.

“Dalam keadaan ini, defendan tidak berhak dari segi undang-undang untuk menggunakan nama plaintif sebagai nama amalannya yang baru dibentuk,” katanya.

Oleh itu, plaintif menuntut satu injunksi bagi menghalang defendan atau ejen-ejennya daripada menggunakan namanya, Zaid Ibrahim di dalam apa-apa bentuk dan gaya sebagai nama firmanya berkaitan dengan amalan guaman.

Turut dipohon satu perintah supaya firma guaman itu menyerahkan kepadanya semua material seperti kepala surat, nota, invois dan brosur yang digunakan oleh defendan yang menggunakan namanya.

Beliau turut memohon ganti rugi bagi penyalahgunaan nama plaintif, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Bernama

2 Komen

Comments are closed.