Aliexpress antara aplikasi e-dagang yang diharamkan oleh India.

NEW DELHI – India mengharamkan 43 aplikasi mudah alih termasuk aplikasi e-dagang Alibaba Group Holding Ltd, Aliexpress dalam gelombang sekatan baharu yang disasarkan kepada China.

Langkah baharu ini dilihat ada kaitan dengan ketegangan hubungan kedua-dua negara membabitkan sempadan Himalaya.

Sebanyak 43 aplikasi yang kebanyakannya berasal dari China, yang juga merangkumi beberapa aplikasi temu janji didakwa mengancam “kedaulatan dan integriti India”, kata Kementerian Teknologi Persekutuan dalam satu kenyataan.

India sebelum ini mengharamkan lebih daripada 170 aplikasi.

Negara ini mendakwa China telah mengumpul dan berkongsi data pengguna, yang boleh menimbulkan ancaman kepada India.

Langkah itu, disebut oleh Menteri Teknologi India sebagai “serangan digital”.

Tindakan ini dilaksanakan selepas 20 tentara India terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan China di sebuah kawasan perbatasan Himalaya pada bulan Julai lalu.

Aliexpress bukan pemain utama dalam pasaran e-dagang India.

Namun, aplikasi ini sangat digemari oleh peminat motosikal dan pekedai kecil, yang menggunakannya untuk mendapatkan barang murah.

Langkah itu merupakan satu lagi halangan bagi syarikat gergasi Alibaba, yang merupakan pelabur terbesar di firma berteknologi India, Paytm dan juga menyokong BigBasket.

Anak syarikatnya, UC Web memberhentikan kakitangannya di India awal tahun ini setelah New Delhi melarang 59 aplikasi mudah alih China yang merangkumi penyemak imbas UC Web dan dua produk lain.

Syarikat gergasi teknologi China ini juga terpaksa menangguhkan rancangannya untuk melabur di syarikat India berikutan ketegangan sempadan antara kedua negara bersenjata nuklear itu, lapor agensi berita Reuters sebelum ini. – MalaysiaGazette