Anggota-anggota polis mengusung keranda mendiang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban selepas terkena tembakan penjenayah di sempadan Malaysia-Thailand dengan penuh istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, Negeri Sembilan .foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2020

JEMPOL – Kerajaan Malaysia digesa mempertimbangkan untuk memberi penghargaan kepada Koperal Baharuddin Ramli dan Koperal Norihan Tari, masing-masing terkorban dan tercedera dalam insiden tembakan di sempadan negara, awal pagi semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya turut mencadangkan kedua-dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) itu dianugerahkan Pingat Keberanian di atas keberanian mereka mempertahankan sempadan negara.

Isteri dan anak mendiang, Relow Ko dan Shafira Baharuddin tidak dapat menahan kesedihan semasa upacara pengebumian bapanya Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban selepas terkena tembakan penjenayah di sempadan Malaysia-Thailand di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, Negeri Sembilan .foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2020

“Saya telah pun menyampaikan cadangan tersebut kepada Perdana Menteri supaya mendiang dan Koperal Norihan dipertimbangkan untuk diberikan penghargaan lebih tinggi dalam bentuk Pingat Keberanian.

“Saya telahpun berbincang dengan pengarah-pengarah tadi, kami bersetuju untuk menaikkan pangkat mendiang kepada Sarjan,  juga Koperal Norihan yang cedera atas sifat-sifat keberanian luar biasa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Hamid Bador menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada isteri mendiang, Relow Ko semasa  upacara pengebumian mendiang  Koperal Baharuddin Ramli di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, Negeri Sembilan .foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2020

Terdahulu beliau menghadiri istiadat pengkebumian secara terhormat, Koperal Baharuddin di Tanah Perkuburan Orang Asli Sungai Sampo, Air Hitam, di sini, tengah hari tadi.

Semalam, seorang anggota PGA terkorban manakala rakan sepasukannya cedera parah selepas terkena tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian pukul 3.10 pagi itu, mangsa Koperal Baharuddin sedang melakukan kawalan keselamatan Op Benteng bersama  Koperal Norihan yang mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis dengan mangsa yang cedera sedang dirawat dan dilaporkan kritikal.

Difahamkan berlaku insiden berbalas tembakan antara anggota PGA dengan dua kumpulan penyeludup ketika mendiang sedang menjalankan tugas risikan di tembok sempadan (TS9). – MalaysiaGazette