Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Telipok Ria, Tuaran di Sabah selama 14 hari bermula lusa.

Selain Tuaran, PKPD juga akan dilaksanakan di taman-taman perumahan Mukim Sungai Seluang, Kulim selama 14 hari berakhir 10 Disember depan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKPD di Tuaran membabitkan kawasan seluas 229,459 meter persegi, 3,400 unit rumah dan 18,000 penduduk.

“Sidang khas hari ini mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan peningkatan kes Covid-19 di Taman Telipuk Ria. Kami diberitahu oleh KKM, sehingga 22 November lalu sebanyak  2,609 saringan dilakukan.

“Ia juga telah merekodkan sebanyak 253 kes positif Covid-19 manakala terdapat 581 sampel saringan yang masih menunggu keputusan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kita bersetuju untuk melaksana  PKPD di lokaliti terbabit ,” katanya pada sidang media harian hari ini.

Dalam pada itu, PKPD di taman-taman perumahan Mukim Sungai Seluang, Kulim di Kedah juga akan dilaksana selama 14 hari berakhir 10 Disember depan.

Ismail Sabri berkata, KKM telah menjalankan 197 ujian saringan secara bersasar dan daripada jumlah itu dengan 50 kes positif Covid-19 direkodkan membabitkan lokaliti berkenaan.

“Berdasarkan penilaian risiko dan nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di taman-taman perumahan di Mukim Sungai Seluang, Kulim selama 14 hari bermula 27 November hingga 10 Disember ini.

“Pelaksanaan PKPD ini membabitkan 1,412 rumah dengan anggaran 6,000 penduduk,” ujarnya. -MalaysiaGazette