Bruno Fernandes mengorbankan peluang mencipta hatrik untuk memastikan rakannya Rashford menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi menang ke atas Istanbul Basaksehir peringkat kumpulan H awal pagi tadi. Foto Kredit: Reuters

LONDON – Bruno Fernandes menolak peluang emas  untuk mencipta gol hatrik pertamanya dalam aksi kemenangan Manchester United ketika menentang Istanbul Basaksehir dalam peringkat kumpulan H Liga Juara Juara Eropah awal pagi tadi.

Dalam aksi di Old Trafford itu, Fernandes berkata, dia menolak peluang menjaringkan tiga gol demi memegang janjinya kepada  Marcus Rashford.

Katanya, selepas membuka dua gol awal untuk Red Devils pada minit ke-7 dan 19, skuadnya mendapat peluang menambah jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-35.

Walaupun telah mengambil sepakan penalti dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu lalu, kali ini Bruno membenarkan rakan sepasukannya Rashford menyempurnakan sepakan itu demi semangat berpasukan, sekali gus  menjadikan pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer mendahului pelawat 3-0 di babak pertama.

Dengan berbekalkan semangat 3 gol di separuh masa pertama, Manchester terus mempamerkan aksi cemerlang sebelum mengesahkan tiga mata penuh dengan gol keempat menerusi Daniel James pada minit ke-92.

Gol saguhati pasukan pelawat hadir menerusi Deniz Türüç pada minit ke-75.

Kini Manchester United mengungguli kumpulan dengan sembilan mata menerusi empat perlawanan manakala PSG menduduki tempat kedua dengan enam mata.

Skuad the Red Devils hanya memerlukan satu mata lagi dalam perlawanan akan datang untuk mengesahkan tiket ke pusingan ke-16 Liga Juara-Juara Eropah.- MalaysiaGazette