Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berterima kasih kepada semua Ahli-ahli Parlimen yang menyokong dalam meluluskan Belanjawan 2021, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah Ahli Parlimen untuk menerima bajet itu membuktikan kematangan Ahli-ahli Parlimen dalam membuat keputusan penting berkaitan rakyat di negara ini.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Parlimen terutamanya Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong Belanjawan 2021 sehingga diluluskan di peringkat dasar.

“Sokongan ini membuktikan kematangan Ahli-ahli Parlimen dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara-perkara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata demikian mengulas mengenai kelulusan bajet tahunan pertama kali Perikatan Nasional (PN) Yang diluluskan di Dewan Rakyat di peringkat dasar, melalui undian suara selepas sebahagian besar Ahli Parlimen termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undian secara belah bahagi.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau tersentuh dengan pendirian Ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini, sekali gus membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Saya juga ucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan yang telah bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Penambahbaikan ini telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 ini dijalankan,” katanya.

Belanjawan 2021 merupakan belanjawan terbesar dengan memperuntukkan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19. – MalaysiaGazette