NEW YORK – Jumlah kes Covid-19 di dunia sudah mencecah 60 juta dengan 1.4 juta kematian.

Jumlah kes di Amerika Syarikat (AS) terus merekodkan kenaikan pesakit yang dirawat di hospital.

AS adalah negara paling teruk dilanda wabak ini sehingga penduduknya diarah supaya tinggal di rumah semasa cuti Thansgiving.

Reuters  melaporkan sebanyak 1 juta kes Covid-19 direkodkan dalam tempoh kurang seminggu – menjadikan jumlah kes jangkitan keseluruhan di AS sebanyak 12.5 juta dan kematian 260,000.

Analisis juga menunjukkan kadar jangkitan baharu di dunia meningkat.

Kes jangkitan Covid-19 hanya mengambil masa 17 hari untuk meningkat dari angka 50 juta kepada 60 juta berbanding 21 hari dari 40 juta kepada 50 juta.

Di Eropah, sebanyak 1 juta kes baharu direkodkan dalam lima hari, untuk lebih daripada 16 juta kes, termasuk 365,000 kematian.

Kerajaan Eropah sedang bergelut untuk melaksanakan peraturan ketat dalam usaha membendung penularan wabak ini.

Walaupun sekatan pergerakan di England akan berakhir minggu depan, Jerman, Sepanyol dan Itali telah mengumumkan sekatan sepanjang tempoh percutian, termasuk had kehadiran tetamu di rumah.

Amerika Latin melaporkan kes kematian tertinggi di dunia, mewakili sekitar 21% daripada semua kes global dan lebih dari 31% daripada semua kematian global dilaporkan.

Brazil, satu-satunya negara yang mencatatkan lebih daripada 6 juta jangkitan.

Dengan hampir 170,000 kematian yang disahkan, Brazil merekodkan jumlah kematian tertinggi kedua di dunia.

India kekal sebagai negara kedua dengan jumlah jangkitan hampir  9.2 juta, tetapi mula menunjukkan penurunan.

Negara ini melaporkan purata 44,000 kes sehari muinggu lalu, susut berbanding 97,000 kes pada pertengahan September. – MalaysiaGazette