Secretary-General of DAP, Anthony Loke Siew Fook
Secretary-General of DAP, Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – Salah satu sebab kenapa ahli-ahli Parlimen DAP tidak bangun untuk undi belah bahagi menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat ialah kerana tidak mahu dilihat ingkar kepada nasihat Yang Dipertuan Agong (YDPA).

Ketua Parlimen DAP, Anthony Loke berkata, jika mereka bangun ahli DAP akan dituduh berdepan dengan serangan mendakwa mereka bersetuju dengan kemungkinan gaji kakitangan awam tidak dibayar.

“Bayangkan, kalau semua ahli Parlimen pembangkang bangun memohon undi belah bahagi dan menolak pada petang tadi. Apakah serangan pula daripada pihak Perikatan Nasional pada malam ini?

Mereka akan tuduh Pakatan Harapan ingkar kepada nasihat YDPA, tidak mahu gaji kakitangan awam dibayar, tidak menyokong bantuan kepada golongan B40, menyekat elaun hidup untuk petani dan nelayan. Mereka akan memainkan sentimen rakyat dengan pelbagai tuduhan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Anthony faham ramai yang kecewa dan tertanya-tanya mengapa ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dan PKR tidak bangun untuk meminta undi belah bahagi untuk menolak Belanjawan 2021.

“Yang pertamanya, adakah Belanjawan 2021 telah diluluskan di Parlimen hari ini? Jawapannya, tidak!

“Hari ini, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 hanya lulus peringkat bacaan kedua atau di peringkat dasar. Selepas hari ini, perbahasan akan masuk peringkat jawatankuasa mulai hari Isnin depan.

“Maksudnya, perbelanjaan untuk setiap kementerian perlu dibahaskan secara terperinci dan diluluskan. Mulai Isnin depan, setiap hari ada peluang untuk undi belah bahagi dipanggil oleh sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen.

“Mengapa kita tidak undi belah bahagi hari ini? Sebabnya ialah kita tidak menolak keseluruhan belanjawan tersebut. Ada perkara yang kita boleh bersetuju dan sokong seperti pembayaran gaji untuk kakitangan awam, elaun khas untuk frontliners, bantuan tunai kepada rakyat, subsidi gaji untuk majikan, peruntukan untuk pengangkutan seperti MY30 dan lain-lain peruntukan yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

“Namun, banyak juga peruntukan yang kita tolak seperti peruntukan RM85 juta untuk JASA, pemotongan peruntukan untuk pelbagai jenis aliran sekolah dan isu-isu lain yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang,” ujarnya.

Sebagai Ketua Parlimen untuk blok Ahli Parlimen DAP, Anthony mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan saya untuk memberikan arahan kepada ahli-ahli Parlimen DAP untuk tidak bangun meminta undi belah bahagi selepas mendapat mesej daripada pihak Ketua Pembangkang.

“Saya faham ramai ahli dan penyokong DAP merasa amat kecewa terhadap keputusan ini dan mengecam tindakan kita. Saya memohon maaf secara terbuka sekiranya saudara dan saudari merasakan keputusan ini adalah satu keputusan yang salah.

“Saya hanya boleh menjanjikan bahawa semua Ahli Parlimen DAP akan pastikan bahawa mulai Isnin depan……The fight will go on,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kalau dah nak ikut arahan agong. tak payahlah ada perbincangan. terima saja lah buruk baik pun dalam belanjauan itu. nak ada JASA tak berjasa pun apa peduli. kalau gst pun boleh terima paksa rakyat bayar. apalah belanjauan ini.

Comments are closed.