Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (cctv) berikutan kes tangkapan pecah kedai pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2020.

SERDANG – Polis memberkas dua lelaki dan seorang wanita berumur di antara 40 hingga 55 tahun kerana dipercayai memecah masuk rumah dan menyamun.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kejayaan pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu selepas tindakan salah seorang geng samun rumah itu dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh penghuni pangsapuri Flora Residensi, Seri Kembangan pada minggu lalu.

Tidak hanya memecah masuk rumah malah suspek bertindak ganas dengan mencederakan mangsa dengan menggunakan senjata tajam ketika cuba melarikan diri bersama dua rakannya  dengan kereta.

“Anak pengadu yang berada di rumah menelefon pengadu menyatakan ada seorang lelaki berbaju merah memecah masuk rumah dengan mengumpil grill dan pintu rumah lalu menggeledah rumah pengadu.

“Pengadu telah melihat kejadian tersebut melalui CCTV yang berada di rumah pengadu. Saspek telah mencederakan anak saudara pengadu yang menahannya di parking lot dengan menggunakan senjata tajam yang digunakan untuk mengumpil grill dan pintu dan merempuh pagar keselamatan pangsapuri,” katanya pada sidang media hari ini.

Antara barangan yang berjaya dirampas polis berikutan kes tangkapan pecah rumah dan kedai pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2020.

Menurut Razali, modus operasi yang digunakan kumpulan itu ialah seorang akan memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni, seorang menjadi pemerhati manakala seorang lagi menunggu dalam kereta.

“Suspek ini berpakaian sukan seolah-olah orang biasa,” katanya.

Selepas menerima maklumat awam, pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Serdang Cawangan D4 mengejar suspek di kawasan luar pangsapuri, ujarnya.

Kata Razali, hasil siasatan, kesemua suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah.

“Kesemua mereka masih dalam tahanan reman sehingga 2 Disember 2020,” tambah beliau.

Polis turut rampas dua buah kereta, alat yang digunakan untuk memecah rumah, barangan antik dan hasil curi bernilai kira-kira RM10,000.

Razali berkata, berkitan penangkapan suspek-suspek itu, polis telah menyelesaikan 10 kes pecah rumah yang berlaku di daerah Serdang, Brickfields, Petaling Jaya dan Kajang.

Tambah beliau kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette