Penunjuk perasaan merosakkan barang-barangan di dalam sebuah pasar raya Carrefour. Keganasan ini tercetus selepas seorang lelaki kulit hitam dibunuh oleh pengawal keselamatan pasar raya berkenaan. foto Agensi

BRASILIA – Seorang pendakwa raya di selatan Brazil menuntut ganti rugi sebanyak 200 juta reais (AS$37.6 juta) daripada Carrefour SA selepas seorang pengawal keselamatannya memukul seorang lelaki kulit hitam hingga mati di salah satu cawangan pasar raya tersebut.

Pada hari Jumaat, rakaman video menunjukkan pengawal keselamatan di Carrefour di bandar Porto Alegre dengan kejam memukul Joao Alberto Silveira Freitas diedarkan secara meluas melalui sosial media.

Kejadian itu tercetus setelah berlaku pertengkaran antara mangsa dan seorang pekerja kedai.

Kematian Silveira Freitas telah mengakibatkan tunjuk perasaan di Sao Paulo danĀ  mencetuskan isu terhadap Brazil yang sebelum ini menafikan negara itu mengamalkan rasisme.

Sebagai tambahan, pejabat peguam bela masyarakat negeri meminta mahkamah untuk menutup cawangan Carrefour di Porto Alegre “dengan tujuan untuk mengurangi risiko kemungkinan tindakan keganasan yang terjadi akibat tunjuk perasaan.”

Dalam satu kenyataan, Carrefour Brasil mengatakan ia masih belum menjawab secara rasmi tuntutan oleh pejabat pembela umum.

Namun, Carrefour berkata, ia akan memberikan segala maklumat yang diperlukan oleh kerajaan.

Antara tuntutan lain yang disenaraikan dalam tuntutan itu adalah mewujudkan rancangan untuk memerangi rasisme dan perlakuan diskriminasi oleh peruncit di Porto Alegre. – MalaysiaGazette