Suasana di sekitar Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone di Ibu Pejabat Port Klang Free Zone (PKFZ), Pelabuhan Klang.

KUALA LUMPUR – Lebihan dagangan Malaysia pada Oktober 2020 melonjak sebanyak 25.9 peratus kepada RM22.12 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam satu kenyataan berkata, prestasi tersebut merupakan lebihan dagangan tertinggi yang pernah direkodkan bagi bulan Oktober.

Jelasnya, eksport bernilai RM91.05 bilion pada Oktober 2020, naik 0.2 peratus berbanding Oktober 2019 dan merupakan nilai eksport ketiga tertinggi direkodkan setakat ini.

Peningkatan itu telah disokong oleh kenaikan eksport ke Amerika Syarikat (AS), China, India dan United Kingdom.

Import berjumlah RM68.93 bilion, berkurang 6 peratus manakala jumlah perdagangan bernilai RM159.98 bilion, menyusut 2.5 peratus.

Berbanding September 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang 2.6 peratus, 2.4 peratus dan 2.9 peratus. Lebihan dagangan meningkat sebanyak 0.8 peratus.

Bagi tempoh 10 bulan pertama tahun 2020, lebihan dagangan telah mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 16.3 peratus kepada RM147.04 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

Jumlah perdagangan merekodkan penurunan sebanyak 4.9 peratus kepada RM1.454 trilion,

Eksport berjumlah RM800.59 bilion, menyusut 3.3 peratus manakala import bernilai RM653.55 bilion, berkurang 6.8 peratus.- MalaysiaGazette