Maradona dalam aksi Piala Dunia 1982 bersama Aidile (kann).gambar fail getty Image.

LONDON – Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo tidak bermimpi untuk disanjungi sama seperti Diego Maradona, kata bekas rakan sepasukan lagenda bola sepak itu, Ossie Ardiles.

Berita sedih pemergian Maradona diratapi di seluruh dunia yang menganggap sebagai raja bola sepak dunia.

Tiga hari berkabung telah bermula di Argentina selepas Maradona  meninggal dunia pada Rabu lalu pada usia 60 tahun.

“Untuk menjadi Maradona adalah satu saat yang terindah dalam kehidupan.

“Namun di sudut lain, ia tidak semudah yang disangka. Sejak awal usia kecil, dia selalu menjadi tumpuan media sepanjang masa.

“Malah Maradona tidak pernah melalui zaman kanak-kanak atau remaja yang normal seperti yang lain.

“Ramai yang mahu bersama dia setiap masa menyebabkan dia melalui zaman yang begitu hangat, ” kata Ardiles kepada BBC Sport.

Maradona yang pernah beraksi untuk Boca Juniors, Barcelona dan Napoli pernah menjadi kapten pasukan Argentina dengan  membantu pasukan itu menjulang Piala Dunia pada 1986.

Pada kejohanan itu beliau menjaringkan gol yang digelar ‘tangan tuhan’ ketika menetang England pada peringkat suku akhir.

Ardiles yang merupakan bekas pemain tengah Tottenham Hotspur pernah beraksi bersama Maradona pada Piala Dunia 1982 berkata, rakan sepasukannya itu disanjung sebagai tuhan di tanah air, Naples dan seluruh dunia.

“Dia sentiasa akan diingati sebagai genius bola sepak.

“Pemain seperti Ronaldo atau Messi tidak boleh bermimpi untuk menggantikan kedudukan atau populariti yang dimiliki Maradona, dia adalah raja dalam hati komuniti dunia, itulah fenomena luar biasa sepanjang masa yang dicetuskan Maradona,” katanya.

Bekas pakar perancang tengah Argentina itu menjalani pembedahan pembekuan darah di otak pada awal November ini selain pernah menjalani rawatan pemulihan pengaruh alkohol.

Lagenda bola sepak Brazil, Pele turut menzahirkan takziah dan meratapi pemergian Maradona.

Sementara itu, Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata, Maradona telah mematangkan dunia bola sepak.

“Setahun lalu saya terserempak dengan kain rentang di Argentina dengan perkataan berbunyi ‘Apa yang anda capai dalam kehidupan anda adalah tidak penting, lebih pentingnya adalah apa yang kamu lakukan untuk hidup kami’.” katanya. -MalaysiaGazette