BUENOS AIRES – Peminat Diego Maradona berhadapan dengan polis ketika mereka beratur di kediaman presiden bagi mengucapkan selamat tinggal kepada lagenda bola sepak itu.

Para peminat membaling botol dan penghadang yang diperbuat daripada besi ke arah polis berhampiran Casa Rosada di tengah ibu negara Argentina itu.

Masa untuk memberi penghormatan terakhir bermula pada jam 6.15 pagi waktu tempatan, selepas beberapa jam ahli keluarga dan rakan rapat melakukannya, lapor AP.

Keranda kayu Maradona yang diletakkan di lobi utama pejabat presiden itu ditutup dengan bendera Argentina dan jersi pasukan kebangsaan bernombor 10.

Berpuluh-puluh jersi pelbagai pasukan dilemparkan pelawat yang berlinangan air mata yang melintasi kawasan itu.

Maradona meninggal dunia pada Rabu lalu akibat serangan jantung di sebuah rumah di luar Buenos Aires di mana beliau pulih daripada pembedahan otak pada 3 November  lalu.

Penghormatan terakhir pertama dilakukan oleh anak perempuan bintang bola sepak itu dan ahli keluarga rapat disusuli bekas rakan pasukan yang memenangi Piala Dunia 1986 termasuk Oscar Ruggeri.

Pemain Argentina lain seperti pemain Boca Juniors,  Carlos Tevez turut hadir.

Peminat mula berbaris di luar Casa Rosada hanya beberapa jam selepas kematian Maradona disahkan.

Antara yang hadir ialah penyokong Boca Juniors yang dikenali barrabravas. Maradona pernah beraksi untuk Boca Juniors.

Peminat pertama yang memberi penghormatan terakhir ialah Nahuel de Lima yang menggunakan tongkat kerana ketidakupayaannya.

Pada masa sama, keadaan dilihat mula tidak terkawal yang menyaksikan polis menggunakan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan.

Pengawal mula menghalang peminat daripada mengambil gambar dan mengawal akses ke bangunan itu.

Ramai peminat menangis sebaik sahaja mereka meninggalkan kawasan itu manakala peminat yang melintas keranda menggenggamkan tangan di dada dan menjerit ‘Let’s go Diego’. – MalaysiaGazette