Abdul Ghani Salleh.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah diadakan serentak pada 16 Januari depan.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala hari untuk mengundi awal adalah pada 12 Januari .

Beliau berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding sehingga pukul 11.59 malam pada 15 Januari ini

“PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah bagi mengisi kekosongan di kerusi-kerusi berkenaan.

“Bagi pelaksanaan kedua-dua PRK ini, SPR akan mengguna pakai Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya yang telah digunakan semasa PRU DUN Sabah Ke-12 dengan beberapa penamnbahbaikan.

“Semua aktiviti berkempen berbentuk ceramah, syarahan, kempen ziarah rumah ke rumah, walkabout dan pengedaran pamplet secara bersemuka adalah tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Ghani menambah, calon kedua PRK itu digalakkan berkempen menggunakan saluran media sosial dan mereka dibenarkan untuk memasang bunting di dalam kawasan pilihan raya.

Jelas beliau, petugas parti atau calon perlu mengelakkan pertembungan semasa pemasangan bunting bagi mengekalkan penjarakan fizikal.

“Aktiviti berkempen mengunakan kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara adalah dibenarkan pada waktu yang munasabah.

“Namun ia tidak boleh menyebabkan berlaku perkumpulan atau  perhimpunan penyokong,” katanya.

Abdul Ghani memberitahu, SPR mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dan memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi.

Katanya, semua pihak terlibat juga diseru supaya mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan bagi memastikan PRK ini berjalan lancar di samping memastikan tiadanya kluster baharu Covid-19 wujud,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.