Pelanggan beratur di sebuah kedai gunting di bandar Paris sebaik sahaja kedai bukan keperluan dibenarkan dibuka semula. foto Agensi

PARIS – Para pelanggan beratur panjang di luar kedai gunting rambut sebaik sahaja sekatan pergerakan selama sebulan di Perancis berakhir hari ini.

Pusat beli-belah yang mula menjual hadiah dan dekorasi Krismas turut menjadi tumpuan pada hari Sabtu.

Kedai jualan barangan bukan keperluan dibenarkan beroperasi hari ini sejak ditutup pada 30 Oktober lalu.

Kebenaran itu hanya sehingga 15 Disember ini.

Manakala bar dan restoran ditutup hingga 20 Januari.

“Hari ini saya menerima ramai pelanggan yang mahu kelihatan kemas semasa Krismas, lagipun kita tak tahu apa berlaku selepas ini,” kata seorang tukang gunting rambut, Remi Thor.

Kedai gunting rambut, J-Coiffeur berkata, meskipun mereka membuka tempahan dalam talian tetapi masih ada pelanggan yang  beratur di luar kedai.

Di bawah peraturan semasa, pelanggan kedai gunting rambut tidak dibenarkan menunggu di dalam premis.

Sebagai syarat tambahan pembukaan aktiviti ekonomi, kerajaan mengurangkan jumlah pelanggan di dalam kedai, sekali gus memberi cabaran kepada kedai-kedai kecil.

Di Printemps – 19 kedai serbaneka mewah memiliki gabungan ruang lantai 180,000 meter persegi, memaklumkan pihaknya memantau had kemasukan pelanggan.

“Kami mengira jumlah pelanggan pada masa sebenar untuk memastikan kami mematuhi had yang dibenarkan,” katanya.

Banyak pemilik perniagaan kecil mengadu sukar untuk beroperasi di bawah peraturan baru dan mengatakan jumlah pelanggan perlahan kerana mereka menangguhkan membeli-belah hingga Black Friday, yang ditangguhkan seminggu hingga 4 Disember ini.

Datuk Bandar, Anne Hidalgo, dimaklumkan akan mengadakan perbincangan dengan organisasi runcit berhubung kebenaran membuka kedai pada hari Ahad bagi membolehkan peniaga  mengejar kehilangan jualan akibat sekatan pergerakan.

Setakat ini, kerajaan membenarkan operasi sehingga jam 9 malam. – MalaysiaGazette