KUALA LUMPUR – Industri seni tanah air baru-baru ini dikejutkan apabila penyanyi dan pengacara Alif Satar disahkan positif Covid-19.

Beliau sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.

Dalam tempoh menerima rawatan, Alif memaklumkan menerima panggilan video daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang bertanyakan khabarnya.

Menerusi Instagram Alif selain berkongsi gambar panggilan video antaranya dengan Dr Zulkifli turut menerima kiriman surat dan beberapa buah buku kepadanya.

“ALHAMDULILLAH.. Alif terima semangat baru harini, terima kasih yang tak terhingga kepada YB @drzulkifli.albakri sudi bertanya khabar melalui facetime tadi,dan sempat kirimkan surat dan buku untuk Alif baca sepanjang kuarantin.

“Masa video call tadi Alif sangat terharu apabila DS Zul turut mendoakan kesihatan bukan saja untuk Alif, tapi buat semua yang terjebak dengan Covid-19. Alhamdulillah terima kasih banyak-banyak semoga Allah swt merahmati dan membalas jasa baik Ustaz Zul sekeluarga.. insyaAllah,” katanya.

Dalam surat berkenaan, Zulkifli yang juga bekas pesakit Covid-19 itu turut memberikan semangat kepada Alif agar melawan wabak berkenaan dan kembali sihat.

Untuk rekod, selain Aliff,  ibu dan ayah serta datuknya juga disahkan dijangkiti Covid-19.

Terbaharu, salah seorang anggota kumpulan Alif & The Locos yang membuat persembahan bersama Alif pada Jumaat lalu turut disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.- MalaysiaGazette