Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

PETALING JAYA – Menyamar sebagai rakan atau ahli keluarga di media sosial dan berpura-pura berada dalam kesusahan.

Itu antara modus operandi penjenayah yang melakukan penipuan dalam talian, kata Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya banyak menerima laporan berhubung kes-kes jenayah siber dan multimedia khususnya berkenaan penipuan dalam talian.

Katanya, statistik laporan polis kategori jenayah siber dan multimedia yang diterima dari Januari hingga November tahun ini menyaksikan sebanyak 78 laporan polis diterima melibatkan mangsa kerugian hampir RM7 juta.

“Manakala sebanyak 20 kertas siasatan telah dibuka daripada jumlah aduan itu adalah menggunakan modus operandi penyamaran sebagai rakan dan ahli keluarga melibatkan kerugian mangsa berjumlah RM250,000.

“Suspek akan memperkenalkan diri sebagai rakan atau ahli keluarga mangsa dan memberitahu nombor telefon yang digunakan itu adalah nombor baharu kerana nombor asal telah hilang.

“Lebih menarik lagi, suspek berjaya memperdaya mangsa dengan meniru suara sebenar atau mirip suara rakan atau ahli keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nik Ezanee, selepas itu, mangsa akan bertambah yakin individu itu adala rakannya yang berada dalam kesusahan dan ingin meminjam wang.

Kemudian katanya, mangsa diberi nombor akaun bukan milik rakan atau ahli keluarga mangsa sebenar untuk dimasukkan wang.

“Tanpa membuat semakan terlebih dahulu mangsa memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek dan hanya mula menyedari dirinya ditipu apabila mangsa cuba menghubungi rakan atau ahli keluarga sebenar menggunakan nombor telefon asal mereka sebelum mendapati mereka tidak membuat permintaan pinjaman wang seperti disangka dan telefon bimbit mereka tidak hilang.

“Maka polis menasihatkan orang ramai agar lebih berjaga-jaga dengan taktik licik penipu online dan jangan mudah terpedaya dengan mana-mana panggilan yang tidak dikenali.

“Semak dahulu kesahihan maklumat yang diperolehi sebelum mengambil sebarang tindakan yang boleh merugikan kita.

“Modus operandi ini tidak menyasarkan mana-mana golongan tetapi penjenayah sentiasa berusaha untuk memperdaya mereka yang leka dengan taktik-taktik yang baharu,” tegas Nik Ezanee.-MalaysiaGazette