KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ditambah dua hari lagi menjadikan tempoh bersidang keseluruhan selama 29 hari dan tamat pada 17 Dis ini.
Menurut surat Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen Jumaat lepas, pindaan berkenaan selaras Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Berdasarkan peraturan berkenaan, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.
Menurut surat berkenaan, tambahan dua hari ini diperuntuk untuk pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.
Pindaan turut dibuat kepada takwim persidangan Dewan Negara yang akan bersidang mulai 16 hingga 23 Disember berbanding tarikh asal sebelum ini dari 14 hingga 23 Disember.
Ia selaras Peraturan Mesyuarat 10(2) dan 14(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara yang berdasarkan peraturan Mesyuarat 10(2), penetapan tarikh majlis bermesyuarat perlu ditetapkan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal.
Mengikut Peraturan Mesyuarat 14(2) pula, urusan kerajaan perlu diaturkan mengikut sebagaimana yang baik pada timbangan kerajaan dan diberitahu kepada setiausaha. – MalaysiaGazette