Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ketiga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 28 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut pimpinan parti agar memberikan kuota sebanyak 30 peratus kepada calon wanita untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun berkata, beliau akan memastikan tuntutan itu akan tertunai dan mendapat perhatian daripada pucuk pimpinan parti.

“Saya mahukan, kuota sebanyak 30 peratus diberikan kepada calon wanita Pada PRU ke-15 nanti.

“Saya akan pastikan kuota ini ditunaikan dan calon-calon wanita nanti akan diberi kawasan strategik untuk menang, bukan diletakkan di kawasan asal muat.

“Saya yakin, rakan-rakan sayap wanita rakan sekutu kita seperti Muslimat Pas sama-sama mahukan perkara ini,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Srikandi pada Perhimpunan Agung kali ketiga Bersatu yang disiarkan secara maya, hari ini.

Rina berkata, wanita perlu dilatih menjadi seorang pemimpin yang terbaik, bermula dengan langkah mendekati rakyat dari segenap lapisan masyarakat.

Justeru, beliau menyeru agar seluruh anggota Srikandi untuk terus memperkasakan diri bagi menjadi seorang bakal wakil rakyat satu hari nanti.

“Kita akan adakan kursus kepimpinan Srikandi untuk melatih pelapis-pelapis negara.

“Saya juga mahukan calon yang menang, bukan sekadar menjadi calon sahaja,” tambahnya.

Dalam pada itu Rina menegaskan, agenda pemerkasaan wanita perlu diperhebatkan agar golongan itu mempunyai kekuatan ekonomi dan dapat mencapai tahap kemandirian
hidup yang dirancangkan.

Katanya, beliau tidak mahu sekadar golongan wanita yang hanya menanti bantuan, sebaliknya beliau mahu melahirkan golongan wanita yang akan dapat menawarkan peluang pekerjaan untuk masyarakat dalam pasca pemulihan ekonomi ini.

“Saya percaya, sekiranya lebih ramai usahawan wanita dapat dilahirkan, maka kita akan lebih cepat keluar dari kepompong kemiskinan, dan setiap keluarga akan menikmati hasil pendapatan yang lebih baik, sekaligus, kita akan dapat meningkatkan keupayaan wanita untuk mencari sumber pendapatan, dan bukan hanya berpeluk tubuh,” ujarnya.

Bagi tujuan itu katanya, beliau sedang merangka sebuah program keusahawanan bagi membantu golongan wanita yang terjejas akibat Covid-19.

Jelasnya, tumpuan untuk mempertingkatkan pengetahuan di dalam bidang e-dagang juga amatlah dialu-alukan dan tahu ramai wanita yang arif dengan jualan-jualan murah di laman seeprti Lazada, Shopee dan sebagainya.

“Jika kita dapat merebut peluang di dalam platform jualan secara digital dan tanpa sempadan ini, kita akan dapat mencipta satu cabang pendapatan yang konsisten dan tidak begitu terkesan dengan bentuk ancaman gencatan ekonomi secara konvensional,” tambahnya. – MalaysiaGazette