Gambar hiasan

SEJAK kebelakangan ini, harga buah tandan segar (BTS) dan minyak sawit mentah (MSM) menunjukkan peningkatan. Sumber daripada Lembaga Minyak Sawit Mentah (MPOB) pada 19 November 2020, harga BTS di pintu kilang ialah RM760 se tan
manakala harga MSM pula RM3,581.50 se tan. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk  Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sendiri menyatakan harga ini tertinggi sejak Mei 2012. Ia turut disokong oleh Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang menyatakan antara faktor
peningkatan ini ialah permintaan tinggi pembeli khususnya dari China dan India. Faktor ini membuktikan usaha Kerajaan khususnya melalui Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) membaikpulih hubungan dengan kedua-dua negara yang
agak dingin ketika pemerintahan kerajaan sebelum ini, telah membawa impak positif kepada negara termasuk industri sawit.

Bulan lalu, lawatan Menteri Luar China, Wang Yi ke Malaysia telah membawa kepada persetujuan China membeli 1.7 juta tan minyak sawit Malaysia sehingga tahun 2023. Sebelum itu, Wisma Putra melalui menterinya turut menyuarakan komitmen untuk memanfaatkan sepenuhnya hubungan dengan India yang kembali pulih bagi memperkukuh industri sawit negara. Perancangan ini tampak berhasil bila mana India bersetuju untuk kembali membeli minyak sawit Malaysia bermula Mei tahun ini. Malah, pada Khamis lepas, Kerajaan India mengumumkan pengurangkan duti import minyak sawit mentah daripada 37.5% kepada 27.5%. Keputusan ini dijangka menambah jumlah eksport sawit ke India, sekali gus berupaya mengekalkan harga MSM dan BTS pada kadar tinggi.

Tidak sekadar itu, minggu lepas Menteri Luar Negeri menerusi sidang video dengan Perwakilan Tinggi Kesatuan Eropah (EU),  Josep Borrell Fonteles telah secara lantang menggesa EU menamatkan diskriminasi terhadap minyak sawit seterusnya
mengiktiraf Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Dalam setiap usaha ini, kredit wajar diberikan kepada Wisma Putra yang sebelum ini sering kali dianggap kementerian sampingan dan hanya menjaga hubungan Malaysia dengan negara luar. Namun dalam beberapa bulan ini, kita dapat menyaksikan bahawa Wisma Putra sebenarnya sebuah kementerian yang sangat penting. Sebagai pendukung dan pelaksana Dasar Luar Negeri, strategi serta program yang dirangka juga merupakan kesinambungan kepada dasar-dasar domestik yang digubal Kementerian-Kementerian lain. Usaha ini selari dengan kenyataan Menteri Luar Negeri dua minggu lalu bahawaWisma Putra akan terus berusaha mengharumkan nama negara di persada antarabangsa di samping membantu sebaiknya kementerian-kementerian lain
merealisasikan setiap perancangan mereka menerusi hubungan akrab Malaysia dengan rakan-rakan negara di seluruh dunia.

Malaysia Boleh!

HARIZ HAFIZAN – Penyelidik di O2 Malaysia