Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka menerima laporan mengenai kajian fasa ketiga vaksin Covid-19 daripada sebuah syarikat pada minggu hadapan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merupakan satu-satunya syarikat yang dijangka mengemukakan laporan daripada 10 syarikat vaksin yang telah berunding dengan kerajaan sebelum ini.

Walaubagaimanapun beliau tidak memaklumkan nama syarikat berkenaan.

“Kita dapati 13 syarikat vaksin menjalankan kajian fasa ketiga, kita hanya dapat berjaya rundingan 10 syarikat vaksin. Kita dimaklumkan besar kemungkinan salah satu syarikat akan memberikan laporan fasa ketiga minggu depan. Kita masih menunggu,” katanya ketika sidang media perkembangan situasi Covid-10 di KKM hari ini.

Namun demikian beliau sekali lagi menegaskan kepentingan untuk vaksin Covid-19 didaftarkan terlebih dahulu.

“Mereka kena hantar untuk didaftarkan. Selagi tidak dpt lesen tidak keluarlah lesen vaksin tersebut,” katanya lagi.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin Covid-19 dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan bekalan sebanyak 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

Jelas beliau perjanjian itu bertujuan untuk memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data dalam menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan disamping menjamin akses kepada vaksin tersebut sekiranya sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat.-MalaysiaGazette