Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner, Datuk Saiful Azly Kamaruddin. foto ISKANDAR HAMIDI, 19 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Dua laporan polis diterima berhubung penipuan skim pelaburan LikeShare yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM20,000 membabitkan dua mangsa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang merupakan pengarah syarikat mendakwa mengalami kerugian RM9,888.

“Kita juga menerima laporan daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai eksekutif mendakwa mengalami kerugian RM10,000 menerusi skim Like Share yang menawarkan bayaran menerusi beberapa tugasan atas talian,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen hari ini.

Tambah Saiful Azly, pihaknya berjaya mengenalpasti seorang individu warga tempatan yang disyaki dalang menguruskan skim pelaburan itu menerusi hasil perisikan pasukan polis jabatan Siasatan Jenayah Komersial KL.

Susulan risikan itu, kita telah menyerbu sebuah pejabat yang terletak di Eco City di ibu negara yang disyaki markas operasi skim pelaburan berkenaan.

“Bagaimanapun apabila pasukan kita turun ke sana mendapati pejabat mereka sudah ditutup sejak 9 November lalu, ahli sindiket itu sudah melarikan diri,” tegasnya.

Katanya pelaburan itu dianggap palsu yang mana pada mulanya mangsa akan diminta memuat turun dua aplikasi sebelum akan diarah untuk melengkapkan tugas yang diberikan.

“Setiap tugasan mangsa akan diberi imbuhan RM2.20 untuk setiap tugasan apabila menekan like dan RM198 untuk satu lagi.

“Dalam itu ada enam peringkat tugasan yang membabitkan jumlah pelaburan yang berbeza dan kamu kena memilih berdasarkan kemampuan melabur sebelum memasukkan imbuhan dalam e-wallet.

“Namun pada satu masa mangsa yang melabur tertipu apabila tiada imbuhan dalam e-wallet lebih sebulan dari sindiket itu.

“Oleh demikian kita minta dan nasihati orang ramai supaya lebih waspada pada ketika Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” ujar beliau.

Dalam satu lagi kes berasingan, Saiful Azly memaklumkan, polis berjaya menahan seramai 38 individu disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian dalam dua serbuan berasingan di tiga premis di sekitar ibu negara pada 27 dan 28 November lalu.

Tegas beliau, dalam serbuan pertama di dua unit kondominium di Jalan Kia Peng di sini di mana seramai sembilan individu terdiri daripada lima warga China termasuk seorang wanita dan empat lelaki warga Taiwan berusia 20 hingga 40 tahun.

Hasil serbuan pihaknya turut merampas 21 unit telefon bimbit, enam unit komputer riba dan wang tunai RM2,633 daripada suspek-suspek itu dan disiasat lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka.

Kesemua direman sehingga 1 Disember ini dan siasatan awal mendapati mereka beroperasi lebih enam bulan hingga setahun lalu dan sering bertukar pusat operasi.

“Manakala dalam serbuan kedua sekitar jam 5 petang pula, polis Komersial Dang Wangi dengan Bahagian Risikan Komersial Bukit Aman turut menahan 29 lagi individu berusia 15 hingga 40 tahun di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang.

“Lima suspek adalah warga tempatan termasuk seorang wanita dan 22 lelaki warga China dan seorang lelaki warga Taiwan yang mana lelaki Taiwan itu sangat dikehendaki oleh kerajaan negara itu atas rekod jenayah dadah,.

“Mereka beroperasi di situ sejak Januari lalu dan membayar sewa RM60,000 sebulan,” katanya sambil mengesahkan mereka direman empat hari di bwah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 2 Disember ini selain disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette