KUALA LUMPUR – Pemain kompetitif FIFA negara, Putera Sufrie Nizam Subadron enggan mensia-siakan peluang beraksi pada pentas final TM ePiala Malaysia 2020 untuk menebus kehampaan selepas gagal mendapat tempat pada Kejohanan eMalaysian Football League (eMFL) musim ini.
Putera sebelum ini pernah beraksi di pentas ePiala Malaysia edisi pertama musim lalu tetapi sekadar bertahan di pusingan lapan terbaik sahaja.
Misinya untuk cuba layak beraksi dalam saingan eMFL buat kali pertama pada Julai lalu juga terkubur apabila tersungkur pada pusingan kelayakan namun berjaya bangkit untuk merebut tempat beraksi di pentas TM ePiala Malaysia pula.
Ia diharap mampu menjadi pengubat duka kepada anak bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur era 80an, Subadron Aziz ini selepas berjaya merebut slot lapan terbaik daripada 256 pemain amatur yang telah beraksi pada pusingan kelayakan TM ePiala Malaysia pada 22 November lalu.
Mereka kemudiannya akan berentap bersama lapan pemain profesional lain yang telah pun layak terlebih dahulu berdasarkan kedudukan di pentas eMFL sebelum ini.
“Saya masih rasa sedikit sedih sebenarnya apabila tempoh hari gagal rebut slot untuk beraksi di eMFL, tetapi selepas layak untuk dapat tempat berentap di TM ePiala Malaysia, terubat sikit rasa kecewa.
“Sekarang saya lebih bersemangat untuk beraksi dengan pesaing-pesaing lain dalam edisi kali ini dan saya akan berusaha keras untuk cuba rebut gelaran juara pada musim ini.
“Saya mewakili pasukan Kelantan United, jadi saya harap aksi saya mampu untuk tarik penyokong-penyokong mereka dalam saingan FIFA ini dan harap saya tidak mengecewakan mereka.
“Persaingan pasti akan sengit dengan lawan lain juga tidak kurang hebatnya, tetapi saya akan cuba atur strategi yang betul untuk memastikan segalanya berjalan lancar,” jelasnya.
Aksi final TM ePiala Malaysia 2020 akan menemui peminat bermula esok sehingga 4 Disember ini.
Hadiah bernilai RM5,000 bakal menjadi rebutan untuk kejohanan yang bakal disiarkan secara langsung di Facebook MFL, eMFL dan juga Gamesbond yang merupakan kerjasama kepada MFL dalam kejohanan ini.
Penganjuran edisi pertama ePiala Malaysia tahun lalu telah merekodkan lebih 250,000 tontonan secara keseluruhan sepanjang kejohanan menyaksikan pemain terbaik FIFA Malaysia, Luqman Haziq Hajiman yang mewakili pasukan TFC berjaya meraih gelaran juara. – MalaysiaGazette