'Hospital Semantara' pusat kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pesakit Covid19 di MAEPS, Sedang, Selangor foto AFFAN FAUZI, 29 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedia mengaktifkan semula Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, sekiranya jumlah katil di kemudahan kesihatan sedia ada tidak mencukupi.

Ketua Pengarah Nadma Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata agensi itu sedang membantu KKM meningkatkan jumlah katil di kemudahan kesihatan sedia ada seperti di Hospital Kuala Lumpur, Pusat Kawalan Kusta Negara di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Rehabilitasi Cheras.

“Sekarang kita guna kemudahan sedia ada (di hospital-hospital berkenaan). Ini berkaitan dengan bagaimana kita hendak menumpukan perkhidmatan tadi. Kalau buka MAEPS, kita kena ada lebih kurang 670 orang sebagai petugas, jadi kalau kita guna hospital sedia ada, di situ sudah ada petugas-petugasnya.

“Di situ (hospital-hospital) juga ada makmal yang akan membuat uji kaji atau ujian. Tapi kalau di MAEPS, kita kena bawa semua kemudahan itu datang ke MAEPS. Sekiranya perlu buka (di MAEPS), kita akan ambil masa tiga ke empat hari sahaja untuk melaksanakannya sebab kita ada pengalaman,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Pengurusan Bencana Semasa Pandemik COVID-19’.

Mengulas mengenai persiapan banjir ketika pandemik COVID-19, Aminuddin menyifatkan bencana kali ini agak ‘unik’ apabila mengambil kira bagaimana cara untuk memastikan masalah banjir dapat ditangani, tanpa ada masalah berkaitan pandemik COVID-19.

Beliau berkata Nadma bertindak sebagai penyelaras dalam menangani bencana itu di seluruh negara dalam memastikan perancangan dapat disusun dan diselaras dengan lancar.

“This is the perfect storm (bencana dalam bencana). Persiapan banjir itu InsyaAllah dapat kita tangani bersama, (namun) apabila bercakap mengenai SOP (prosedur operasi standard) COVID-19, kita telah membuat beberapa perbincangan dengan agensi yang terlibat seperti membuat simulasi.

“Penting simulasi itu sebagai input untuk perbaiki apa telah kita rencanakan. Sebab masa itu orang sudah tidak tentu hala, hendak selamatkan diri dan pastikan harta selamat, dan ada walaupun dalam keadaan banjir tidak mahu ke pusat pindahan sementara (PPS) sebab takut harta hilang… perkara itu kita kena jangka,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata Nadma telah merangka beberapa gerak kerja seperti melaksanakan SOP sebelum, semasa dan selepas mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah dari PPS masing-masing.

“Contohnya, apabila mereka diarahkan pergi ke PPS, kena pakai pelitup muka dan pastikan penjarakan fizikal. Walaupun memang susah, sebaik mungkin kita akan minta agensi yang terlibat untuk membantu,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast