Dr Johan Kamal Hamidon.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengesahkan Setiausaha Agung sebelum ini iaitu Dr Johan Kamal Hamidon kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Selangor FC selepas pasukan itu diswastakan bermula semalam.

Selangor FC merupakan sebuah kelab bola sepak profesional yang sah diswastakan di bawah Red Giants FC Sdn. Bhd.

Red Giants FC Sdn Bhd adalah sebuah entiti yang menguruskan kelab ini secara profesional dan dimiliki oleh beberapa pemegang saham seperti Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pemegang saham utama, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FA Selangor.

Seorang lagi watak penting dalam pembangunan bola sepak Selangor, Muhammad Izrin Nabil yang sebelum ini memegang portfolio Ketua Unit Pertandingan FA Selangor pula telah dilantik bagi mengambil alih tugas Setiausaha Agung FA Selangor.

Dia berpengalaman luas dalam menguruskan program pembangunan dan pertandingan liga-liga di bawah FA Selangor, disamping peranan mengangkat liga amatur seperti Selangor Champions League ke satu tahap yang baru.

Dari sudut kepimpinan tertinggi organisasi, kedua-dua entiti ini kekal bernaung di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor selaku Pengerusi Kelab dan Presiden Persatuan.

“Melalui penswastaan ini, Beta melihat hala tuju entiti kelab bola sepak Selangor sejajar dengan industri bola sepak moden kerana ia lebih bersifat progresif, membangun, dan memandang ke hadapan.

“Ia mampu mendorong pelabur tempatan dan asing untuk terlibat dalam sukan bola sepak dan dalam masa yang sama, kita dapat memberi fokus sepenuhnya kepada dua misi berbeza dalam satu masa, melalui SFC dan FAS.

“Beta cukup mengenali Johan (Dr. Johan) dan Nabil (Izrin Nabil) kerana telah bekerjasama dengan beta sejak dahulu lagi. Mereka merupakan individu yang komited dan jujur dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan, terutamanya dalam pembangunan bola sepak di negeri ini sejak lima tahun yang lalu.

“Beta berharap agar rakyat Selangor dan penyokong pasukan Gergasi Merah, boleh memberikan kepercayaan dan kerjasama kepada dua individu ini dalam usaha mereka untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor,” tambah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast