Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, K Devan.

KUALA LUMPUR – Bagai sirih pulang ke gagang, jurulatih berpengalaman, K. Devan akhirnya kembali semula ke pangkuan negeri kelahirannya iaitu Negeri Sembilan dengan misi utama memulihkan kembali reputasi skuad Hoben Jang Hoben di persada liga bola sepak tempatan.

Bagi musim 2021, bekas pengendali PJ City FC itu sudah mula memasang impian mahu membawa Negeri Sembilan kembali ke kancah Liga Super dan bagi memastikan hasrat itu boleh dicapai, beliau sedang melakukan perancangan untuk merombak sebahagian besar pasukan termasuk pemain tempatan dan import.

Dalam masa sama, beliau memberikan penghargaan kepada Tunku Besar Tampin yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al- Qadri kerana memberikan mandat kepadanya untuk mengemudi Negeri Sembilan.

“Pertama sekali, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Tunku Besar Tampin dan seluruh pengurusan bola sepak Negeri Sembilan kerana mempertaruhkan kepercayaan buat saya membawa pasukan pada musim depan.

“Saya memang teruja kerana sekali lagi berpeluang mengendalikan Negeri Sembilan, iaitu negeri kelahiran saya dan banyak kenangan manis saya di sini kerana Negeri Sembilanlah menaikkan nama saya seperti hari ini.

“Berdasarkan situasi pasukan buat masa ini, saya tahu banyak perkara yang perlu dilakukan pada musim depan dan perancangan utama saya adalah mahu membentuk skuad yang mantap serta mampu bersaing serta mahu membawa Negeri Sembilan ke Liga Super pada musim berikutnya.

“Apa yang saya boleh katakan buat masa ini, pemain import pada musim depan adalah semuanya yang baru manakala pemain tempatan akan berlaku banyak perubahan kerana saya mahu memperkemaskan skuad ini di semua bahagian,” katanya.

Nama Devan bukanlah sesuatu yang asing buat Negeri Sembilan kerana pernah menjadi ketua jurulatih Piala Presiden pada 2001 dan 2002 sebelum memulakan kariernya selaku ketua jurulatih Negeri Sembilan pada 2003 dan menghadiahkan kejuaraan Piala FA pada tahun yang sama.

Dia terus membimbing Negeri Sembilan sehingga musim 2006 dan turut berjaya meraih kejuaraan sulung Liga Super pada edisi saingan 2005/2006.

Devan sekali lagi hadir ke Negeri Sembilan pada tahun 2015 namun musim itu, Negeri Sembilan gagal berikan impak dan Devan memilih berhijrah ke Kelantan pada musim 2016.

Negeri Sembilan pada saingan musim ini sekadar menamatkan cabaran di tangga ke-11 di Liga Premier dan hanya meraih tiga kemenangan daripada 11 perlawanan.

Sementara itu, Devan berharap pengalaman luasnya dalam bidang kejurulatihan mampu menarik pemain-pemain berpengalaman dan bakat-bakat muda untuk memperkuatkan Negeri Sembilan pada musim depan.

“Berdasarkan bajet yang telah diberikan pengurusan, saya akan cuba sedaya upaya membawa pemain-pemain yang akan dikenal pasti dan sesuai dengan corak permainan yang saya mahu terapkan.

“Diharapkan setelah sekian lama saya dalam bidang kejurulatihan, saya mampu berikan keyakinan kepada pemain-pemain di luar sana untuk bersama pasukan untuk musim depan.

“Saya telah lalui pelbagai fasa dalam karier kejurulatihan namun saya cukup optimis segala pengalaman itu akan berikan keyakinan buat saya menaikkan kembali nama Negeri Sembilan seperti pernah dikenali satu ketika dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast