Gambar hiasan

KALAU disebut tentang imunisasi, sudah pasti akan muncul golongan yang digelar sebagai ‘anti-vaksin’ yang sudah tumbuh di sana sini dalam komuniti kita.

Pada hakikatnya, imunisasi yang ‘dibenci’ oleh sesetengah pihak itu pada hakikatnya sangat memberi makna yang besar buat kesihatan rakyat, terutama di negara kita.

Suka tak suka, ia telah terbukti secara klinikal bahawa imunisasi dapat mengelak dari pelbagai jenis penyakit yang berbahaya seperti radang paru-paru, radang sinus, jangkitan telinga tengah, radang selaput otak dan saraf tunjang serta jangkita
bakteria dalam darah atau Septicaemia.

Apa yang disenaraikan itu adalah penyakit berbahaya yang berpunca daripada bakteria Streptococcus Pneumoniae, yang juga dikenali sebagai Pneumokokus.

Melalui Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berjaya memperjuangkan pemberian suntikan vaksin Pneumokokal untuk kanak-kanak dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada 1
Disember 2020.

Sudah tentu ia menjadi tarikh paling bahagia dan penuh erti untuk semua warga KKM yang mahu melihat wajah-wajah kanak-kanak yang comel dapat membesar dengan sihat dan ceria.

Untuk masyarakat kebanyakan di luar sana, ketahuilah bahawa sudah begitu lama warga KKM memperjuangkan untuk memasukkan suntikan vaksin Pneumokokal ini ke dalam NIP, akhirnya baru hari ini ia berjaya dicapai seperti diumumkan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia.

Ia merupakan suatu kepuasan dan kejayaan besar buat warga KKM!

Secara pentadbirannya, ia merupakan hasil kegigihan menteri sedia ada untuk menyakinkan Kementerian Kewangan bagi kelulusan peruntukan cukup besar melaksanakan suntikan vaksin ini.

Ramai warga KKM melihat kekangan kewangan dan pandemik sebagai batu halangan besar. Namun menteri sendiri melihat usaha dan peluang sentiasa ada bagi membawa kejayaan, dengan syarat sentiasa fikir positif dan keupayaan menjelaskan sesuatu keutamaan.

Selama ini, pihak swasta sahaja yang mendominasi ‘industri’ menyuntik vaksin ini. Disebabkan permintaan yang mengalakkan, maka sudah tentu pihak swasta akan meletak harga yang cukup mahal.

Maka, jujur dikatakan usaha yang Menteri Kesihatan sedang lakukan ini amat bagus demi kesihatan rakyat sejagat. Mudah-mudahan usahanya dengan bantuan semua warga KKM dapat berkat dan syafaat Nabi Muhammad SAW.

Antara vaksin lain yang kerajaan berikan kepada rakyat melalui NIP ini adalah seperti BCG (Basile Calmette-Guerin), Hepatitis B, DTap-IPV-HepB-Hib, MMR, MR, DT, HPV (untuk wanita sahaja), Tetanus dan JE (untuk Sarawak sahaja).

Langkah ini tepat pada waktunya kerana ia memenuhi hasrat rakyat yang mahu hidup sihat, anak-anak membesar dan menjadi modal insan yang mampu menyumbang kepada negara dalam pelbagai bidang kepakaran.

Kesungguhan menteri mendapatkan peruntukan dan jadikan program imunisasi di bawah NIP ini juga adalah keupayaan beliau menterjemah dasar kerajaan mengutamakan nyawa dan kesihatan rakyat mengatasi hal lain.

Terima kasih diucapkan kepada KKM dan Kementerian Kewangan kerana mengutamakan tahap kesihatan rakyat melebihi segala-galanya. Ini kerana kerajaan sedar bahawa nyawa dan kesihatan adalah aset paling berharga yang perlu dipelihara bagi membentuk sebuah negara yang berdaya saing.

DR MUHAMMAD AL-KELANTANI
Bandar Baru Bangi, Selangor.