Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan kecewa dengan keputusan penarafan Fitch terutama ketika dalam keadaan sukar akibat pandemik Covid-19, malah tanda awal pemulihan ekonomi telah mula dicatatkan hasil daripada pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan sejak Mac 2020.

Fitch mengumumkan semakan semula penarafan negara Malaysia daripada A- kepada BBB+, namun dengan peningkatan tinjauan yang lebih baik daripada negatif kepada stabil.

Semakan semula penarafan ini didorong oleh kesan negatif daripada pandemik Covid-19 terhadap kedudukan kewangan negara dan situasi politik semasa.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, semakan semula penarafan ini didorong oleh kesan negatif daripada pandemik Covid-19 terhadap kedudukan kewangan negara dan situasi politik semasa.

Katanya, keputusan agensi itu tidak memberikan gambaran sebenar jika Fitch hanya menumpukan kepada kedudukan fiskal dan keadaan politik Malaysia.

Malah, tidak mengiktiraf hasil usaha tindak balas krisis oleh kerajaan serta asas ekonomi negara yang masih kukuh.

“Kerajaan ambil maklum akan kebimbangan Fitch mengenai situasi politik semasa namun begitu, penggubalan perundangan-perundangan penting telah mendapat kelulusan terutamanya bagi pembiayaan Covid-19 serta perundangan berkaitan perlindungan dan sokongan kepada pelbagai keperluan individu dan perniagaan yang terjejas sehingga 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Malaysia telah bertindak segera dan berterusan dalam menangani krisis Covid-19 menerusi sekurang-kurangnya empat pakej rangsangan bernilai RM305 bilion atau sekitar 20% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk membantu rakyat dan menyokong perniagaan.

Kesemua pakej tersebut dijangka menyumbang lebih empat mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK pada 2020.

Pada suku ketiga, KDNK Malaysia telah menguncup 2.7% berbanding kemerosotan ketara 17.1% pada suku kedua tahun 2020, selain itu, kadar pengangguran juga telah berkurang kepada 4.6% pada bulan September berbanding 5.3% pada bulan Mei.

Pertumbuhan KDNK yang lebih baik juga disokong oleh pemulihan dalam sektor perdagangan dan eksport.

Selepas hampir satu dekad melaksanakan langkah konsolidasi fiskal, Malaysia berjaya mengurangkan paras defisit daripada 6.7% daripada KDNK pada 2009 kepada 3.4% pada 2019.

Walau bagaimanapun, krisis Covid-19 yang tidak diduga ini menyebabkan kedudukan defisit fiskal negara dianggarkan mencecah 6.0% daripada KDNK pada 2020 dan 5.4% pada 2021.

Namun kedudukan defisit fiskal Malaysia untuk 2020 dijangka antara yang terendah berbanding negara berpenarafan A yang lain berikutan usaha dan pendekatan kerajaan yang berhemat, tambah Tengku Zafrul.

Jelas beliau, melangkah ke hadapan, Malaysia akan menuju ke arah pemulihan pesat pada 2021 dengan meneruskan momentum pemulihan yang dicetuskan oleh pelaksanaan pakej rangsangan dalam tahun ini, dengan sasaran pertumbuhan KDNK 6.5%-7.5%.

Rekod prestasi cemerlang ekonomi negara yang berdaya tahan disokong oleh kepelbagaian sektor ekonomi, sektor eksport yang menggalakkan dan dinamik, serta pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda tinggi yang akan menjadi pemangkin dalam mencapai sasaran pertumbuhan ini.

Secara keseluruhannya, asas ekonomi yang kukuh serta langkah fiskal berkesan membolehkan Malaysia melaksanakan tindakan yang cepat, berkesan dan strategik dalam menghadapi persekitaran mencabar dan pada masa yang sama mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan untuk masa hadapan. – MalaysiaGazette