Datuk Seri Aliff Syukri.

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman akan menjelaskan tindakan susulannya selepas beliau didakwa memanipulasi dan mengeksploitasi seorang gadis obesiti.

Menerusi Instagram, beliau melahirkan rasa kesal kerana terdapat pihak cuba menjatuhkannya dengan mengaitkan dengan Nurul Airawani Nazira Ibrahim atau Wani Comel, gadis berusia 23 tahun yang mempunyai masalah berat badan.

Aliff Syukri dalam masa yang sama turut memberi kata dua kepada gadis berkenaan kerana dianggapnya membuat dakwaan membabi buta.

“Saya dah lama bagitahu dalam Facebook saya yang saya buat bariatrik pada @wani.chomel atas nasihat Doktor. Saya siap muatnaik pada tarikh 19 ogos 2019. Doktor itu pun ada buat hantaran.

“Saya sertakan screenshot (tangkapan layar) dari google dan gambar @wani.chomel di hospital…….Benda dah lama kenapa baru nak cerita…. Ketinggalan ke awak… Lain kali nak kenakan orang research (kaji) habis-habis ok…jangan separuh jalan….

“Ni saya cerita sikit je tau..nak tau details (secara terperinci) semua voice (rakaman suara) dan agg (aggreement) kita tunggu Isnin ni dan apa tindakan yang bakal saya ambil kepada mereka yang tak habis-habis ambil kesempatan untuk menjatuhkan saya….. Penatlah layan orang-orang ni… Saya nak niaga tau…. Saya tak kacau orang…,” katanya.

Aliff Syukri turut memuat naik hantarannya di Instagram pada 19 Ogos 2019 yang menjelaskan bahawa Nurul Airawani Nazira perlu menjalani pembedahan bariatrik yang ditanggungnya atas nasihat doktor kerana ketagihan makan yang melampau.

Nurul Airawani Nazira hari ini membuat sidang media mendakwa dia dimanipulasi untuk menjadi duta produk kurus namun tidak diberikan manfaat seperti yang dijanjikan.

Justeru gadis itu menuntut pampasan dan mahu haknya sebagai duta produk kurus di bawah D’herbs dilunaskan selain janji-janji yang lain ditunaikan.

Kata Nurul Airawani Nazira, Aliff Syukri sebelum ini berjanji akan menyara kehidupan dan keluarganya namun mendakwa sebaliknya yang berlaku.

Jutawan kosmetik yang juga pengasas produk D’Herbs itu sempat memberikan nasihat kepada Nurul Airawani Nazira agar tidak mengharapkan bantuan semata-mata sebaliknya berusaha mencari rezeki sendiri.

“Kepada wani terima kasih banyak-banyak…..Awak nak saman saya ? Kerjalah adik wani sayang oii..dah boleh jalan carilah rezeki…orang lain kerja siang malam pagi petang dik cari rezeki untuk keluarga,awak nak harap duit bantuan sampai bila???

“Sepanjang rawatan,kos semua saya tanggung, bayar terapi kaki, makan,tempat tinggal semua saya yang tanggung… 10 sen pun tak minta duit awak adik wani…Jadi jangan menangguk di air yang keruh…. (kita lihat siapa yang kena saman) dan rasa yee korang tau kot siapa cucuk si @wani.chomel ni kann.. korang rasa siapa??,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Gadis obes dakwa ditipu usahawan kosmetik terkenal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast