Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan syarikat perladangan, Kulim (Malaysia) Bhd berjaya menghasilkan klon pokok sawit terbaharu, dikenali sebagai Clonal Palm Series 3 (CPS3).

Menurut MPOB dalam kenyataan hari ini, CPS3 adalah klon sawit berkualti yang berupaya meningkatkan produktiviti dan hasil buah tandan segar (FFB) yang lebih tinggi.

“CPS3 adalah antara siri bahan tanaman yang ditawarkan oleh MPOB kepada pihak industri untuk penanaman secara komersial.

“Bahan tanaman elit CPS3 telah diperkenalkan pada Seminar Pemindahan Teknologi dan Pameran MPOB 2020 pada Julai lalu,” katanya.

Ketua pasukan penyelidikannya, Siti Rahmah Abdul Rahman berkata penghasilan bahan tanaman CPS3 yang telah ditanam di ladang Kulim (Malaysia) Berhad berupaya meningkatkan produktiviti dan hasil buah tandan segar yang lebih tinggi berbanding bahan tanaman baka kacukan dura dan pisifera (DxP).

Pokok klon CPS3 mempunyai produktiviti yang tinggi dengan memaksimumkan hasil bagi setiap hektar.

“Klon CPS3 yang ditanam dengan kepadatan 136 pokok sehektar, menghasilkan 37.5 peratus minyak setandan (M/T) dengan berat buah tandan segar (BTS) 221.7 kilogram bagi setiap pokok dalam tempoh setahun.

“Nisbah minyak kepada tandan dan buah tandan segar klon CPS3 ini, masing-masing sebanyak 21.8 peratus dan 7.6 peratus lebih tinggi berbanding pokok sawit (DxP) yang ditanam secara komersial di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata CPS3 juga menghasilkan bilangan tandan yang ideal iaitu hampir 15 tandan setahun dan berat 15 kilogram setandan seperti yang disarankan oleh ahli biak baka sawit.

“Apa yang lebih menarik ialah klon CPS3 berjaya merekodkan 11.3 tan minyak sehektar setahun berbanding 8.6 tan sehektar setahun bagi kacukan DxP,” katanya.

Siti Rahmah berkata bahan tanaman klon unggul CPS3 sedia untuk dikomersialkan kepada pengusaha ladang sawit dan pengeluar bahan tanaman bagi membiakkan baka klon di makmal kultur tisu masing-masing.- BERNAMA