KUALA LUMPUR – Episod ketiga Muzik Muzik 35 Separuh Akhir (SFMM35) akan kembali bersiaran pada hari 15 Disember ini setelah ditangguhkan sebelum ini sekali gus mengetahui 12 lagu yang akan mara ke Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35).

Penangguhan tersebut dibuat berikutan pengumuman Alif Satar di Instagram miliknya bahawa dirinya telah dijangkiti wabak Covid-19.

Justeru, SFMM35 telah ditunda dan seluruh warga kerja serta artis turut menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Penerbit Eksekutif Muzik Muzik 35 Separuh Akhir, Nurhul Huda Khalid​ berkata, pematuhan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah keutamaan mereka demi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Warga kerja kami yang merupakan kontak rapat kepada Alif Satar telah pun membuat ujian calitan (swab) di pusat-pusat perubatan kerajaan berhampiran.

“Warga kerja lainnya juga telah mematuhi arahan Jabatan Sumber Tenaga, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga, walaupun tidak bergejala,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Nurhul Huda, sekiranya kekal tidak bergejala sehingga tamat tempoh kuarantin kelak, mereka dibenarkan untuk kembali bekerja seperti biasa sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

“Kini, proses perancangan semula SFMM 35 sedang diperhalusi dan pensanitasi berkala juga dilakukan bagi memastikan kelancaran penyiaran hari ketiga SFMM 35 pada 15 Disember ini,” ujarnya.

Dalam keterujaan dengan berlangsung episod ketiga SFMM 35, beliau turut menegaskan bahawa pematuhan SOP pada malam tersebut akan lebih diperketat.

“Hanya artis-artis yang membuat persembahan pada malam tersebut sahaja yang akan hadir bagi memastikan bilangan orang yang berada di studio Sri Pentas 2 itu dapat dikurangkan dan memudahkan penjarakan fizikal,” ujarnya.