Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap dalam perutusan khasnya yang disiarkan secara langsung di Facebook rasminya, hari ini.

IPOH – “Jumpa di Seri Satria”, demikian seloroh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengumumkan telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.

Seri Satria merupakan kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri yang terletak di Putrajaya.

Beliau mengucapkan kata-kata seloroh itu selepas sidang media di kediaman lama Menteri Besar di sini untuk memaklumkan telah menyembah surat peletakan jawatan itu kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah semasa menghadap baginda di Istana Kinta di sini.

Sebelum ini tular poster dengan kata-kata mengucapkan tahniah kepada Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun yang kononnya akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad Faizal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli Dewan terhadap Menteri Besar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Beliau hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali terhadap usul itu yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru). – MalaysiaGazette