KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 bagi Kementerian Pengangkutan yang berjumlah RM6.052 bilion lulus dengan undian belah bahagi di Dewan Rakyat hari ini.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang mengumumkan perkara itu berkata, dalam undian belah bahagi itu, ahli-ahli Parlimen yang bersetuju sebanyak 109 manakala tidak setuju 94 dan tidak hadir 17 orang.
“Dengan itu, RUU Perbekalan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Pengangkutan menjadi sebahagian dari jadual,” katanya ketika mempengerusikan sidang Parlimen hari ini.
Sebelum itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong membentang dan menggulung hujahan dari sembilan ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan dan tiga Ahli Parlimen mencelah.
Sebaik selesai menggulung, lebih 15 ahli Parlimen bangun untuk meminta undian dijalankan secara belah bahagi dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon membacakan pihak penghitung dan pemerhati.
Penghitung bagi Blok A, Datuk Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) dan pemerhati, Chang Lih Kang (Tanjung Malim) diikuti pemerhati Blok B, Khairy Jamaluddin (Rembau), pemerhati, V. Sivakumar; Blok C, Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), pemerhati, Noor Amin Ahmad.
Bagi penghitung Blok D1, Datuk Seri Shahidan Kassim manakala pemerhati, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat); Blok D2, penghitung, Wong Shu Qi (Kluang), pemerhati, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh; Blok E1 penghitung Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), pemerhati, Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).
Penghitung Blok E2 pula, Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli (Lumut), pemerhati, Datuk Salim Sharif (Jempol); Blok F, penghitung, Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh), pemerhati, Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); dan Blok G, Datuk Johari Abdul (Sungai Petani), pemerhati, Lukanisman Awang Sauni.
Untuk memberi ruang kepada ahli Parlimen mengundi, Dewan memperuntukan masa kira-kira 10 minit oleh Mohd Rashid. – MalaysiaGazette