Lima penjawat awam antara 12 individu positif dadah MDMA dan berparti liar dicekup di sebuah kondominium mewah, Bukit Bintang awam pagi hari ini.FOTO IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Lima penjawat awam berpakaian seragam dari sebuah kementerian di Putrajaya antara yang dikenal pasti ‘berseronok’ di bawah pengaruh dadah dalam satu parti liar hari di Bukit Bintang.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah sewa di Jalan Raja Chulan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Dang Wangi telah menyerbu kondominium itu pada 4 pagi tadi.

“Semasa serbuan tiada menjumpai apa-apa barang salah dan seramai 15 orang yang leka bersenorok dalam parti liar hari jadi itu ditangkap dan dibawa balik ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.

“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun manakala lapan daripadanya adalah wanita yang turut diperiksa pegawai narkotik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Zainal, dalam serbuan polis turut merampas seunit laser, dua unit pembesar suara (muzik bluetoth telefon) yang disediakan penganjur parti liar itu.

Menurut beliau, kesemua mereka dilibatkan ujian saringan air kencing sebelum 12 orang termasuk lima daripadanya yang dikesan sebagai penjawat awam didapati positif dadah manakala tiga lagi negatif.

Kesemua mereka ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Aakta Dadah Berbahaya 1952 Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) (NO 8) (PINDAAN) (NO 4) 2020.

“Siasatan polis mendapati salah seorang daripada 15 individu itu merupakan suspek utama bekerja sebagai juruteknik kerajaan yang bertanggungjawab menganjurkan parti liar itu dengan menjemput rakan-rakan kenalannya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Sehari sebelum parti diadakan iaitu pada Ahad semalam suspek telah membuat tempahan bilik melalui agen AGODA sekitar jam 1 tengahari dengan bayaran penuh RM1,100 sehari hasil perkongsian wang bersama rakan-rakannya,” ujar beliau.

Mohamad Zainal memaklumkan, polis mendapati suspek mengaku tujuan parti liar diadakan untuk menyambut hari lahir salah seorang daripadanya mereka.

Malah katanya, sekitar 2 petang semalam, suspek dan rakan-rakannya sudah memasuki kondo berkenaan.

“Kemudian mereka berseronok dalam parti liar itu dengan berbekalkan minuman jus campuran yang siap dibancuh dadah methyl​enedioxy​methamphetamine (MDMA) atau jenis ekstasi sintatik.

“Kesemua tangkapan kini ditahan di Lokap Dang Wangi dan permohonan reman dibenarkan selama empat hari sehingga 10 Disember ini untuk  siasatan lanjut,” tegas beliau.-MalaysiaGazette