Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini menyerahkan kepada kepimpinan gabungan negeri Perak untuk membuat perbincangan dengan UMNO mengenai perbentukan kerajaan negeri.

Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia berdasarkan perkembangan positif yang dipamerkan di Perak atas kerjasama yang dilaporkan akan dijalin di negeri itu.

“Ya (Mesyuarat Majlis Presiden ada bincang) dan harus memantau perkembangan di Perak.

“Kita mesti berbincang dengan kepimpinan negeri termasuk DAP, PKR dan Amanah.

“Ini adalah perkembangan positif kerana ini mencerminkan kepercayaan pada MB dan mereka harus mengambil langkah-langkah. Ini adalah permulaan yang baik jadi, kami telah membiarkan mereka meneruskan rundingan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Parlimen, hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas mengenai kesediaan UMNO untuk mengadakan perbincangan dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri Perak setelah Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan tidak mahu membentuk kerajaan negeri.

Ia selepas bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ditanya mengenai sama ada PH membenarkan DAP untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO, Anwar berkata ia adalah rundingan yang dibuat bersama.

“Rundingan berdasarkan prinsip pemerintahan, ketelusan dan kepada kami adalah masalah pemerintahan yang baik.

“Bagaimana anda meyakinkan dan memastikan bahawa setiap perubahan hanya dapat diterima jika kita pastikan kestabilan dan komitmen untuk melakukan reformasi dan mengadakan pemerintahan yang baik,” katanya lagi.

Anwar dalam pada itu berkata PH tidak membincangkan mengenai calon-calon Menteri Besar yang diketengahkan oleh UMNO.

“Kami tidak membincangkannya dan kami membiarkan kepimpinan negeri Perak untuk membuat perbincangan panjang lebar dan memutuskan serta membuat cadangan yang diperlukan,” jelas Presiden PKR itu lagi.

Hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya mengesahkan kesemua 25 ADUN UMNO Perak secara konsensus mencalonkan ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar yang baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast