Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu melantik ejen atau syarikat dari Sabah dan Sarawak untuk mengedarkan bekalan vaksin Covid-19 kepada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata, beliau menyambut baik keputusan kerajaan pusat untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 daripada beberapa syarikat luar negara dalam usaha menangani impak pandemik wabak itu.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Harta Inteleks Malaysia (MyIPO) berharap, bekalan vaksin itu boleh membawa harapan bagi meningkatkan kualiti kesihatan rakyat di negara ini.

“Justeru, saya berharap kerajaan pusat akan melantik ejen atau syarikat-syarikat dari Sabah dan Sarawak bagi mengedarkan bekalan vaksin Covid-19 dengan efektif agar rakyat kedua-dua Sabah dan Sarawak bakal menikmati bekalan vaksin Covid-19.

“Saya berharap ejen pengedar dari Sabah dan Sarawak akan diberikan kuota pengedaran di kedua-dua negeri tersebut tanpa peluang itu dimonopoli oleh pengedar-pengedar dari Semenanjung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam usaha meningkatkan kualiti dan kemudahan kesihatan bagi rakyat Sabah, Mohamad berharap pendekatan yang lebih baik akan diguna dan dipertimbangkan oleh kerajaan Pusat, terutamanya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Katanya, ia penting dalam mempercepatkan dan meningkatkan keberkesanan proses pengedaran di Sabah, negeri paling teruk dilanda pandemik Covid-19.

“Oleh itu, saya yakin bahawa sekiranya pelantikan pengedar dibuat dalam kalangan ejen atau syarikat tempatan dari Sabah, ia akan memudahkan proses pengedaran dan memanfaatkan rakyat negeri itu.

“Saya berpandangan bahawa pengagihan vaksin juga seharusnya merata tanpa tertumpu kepada negeri-negeri di Semenanjung sahaja.

“Sabah dan Sarawak juga wajar diberikan peluang dalam proses pengedaran vaksin ke seluruh negara. Saya berharap Kerajaan Pusat akan mempertimbangkan cadangan ini dengan serius,” tambah beliau. – MalaysiaGazette