Penyerahan replika sumbangan Skuad PTPTN Prihatin kepada DANA KITA berjumlah RM500,000.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi sumbangan sebanyak RM1 juta bagi membantu 5,000 keluarga asnaf di Kuala Lumpur yang rata-ratanya terkesan dengan kesan penularan Covid-19.

Sumbangan itu merupakan zakat perniagaan PTPTN, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada sumbangan itu sebanyak RM500,000 akan disalurkan melalui Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (DANA KITA) untuk menguruskan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian manakala baki RM500,000 lagi akan diberikan dalam
bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bagi memastikan masa depan pendidikan yang lebih terjamin dalam kalangan keluarga asnaf.

Majlis Penyerahan Sumbangan kepada DANA KITA telah berlangsung pada hari ini dan disiarkan secara online di Facebook rasmi PTPTN.

Mock cek bernilai RM500,000 disampaikan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan kepada pengasas DANA KITA, Mohd Fadli Mohamed Salleh sebagai simbolik penyerahan sumbangan.

“PTPTN merasai keluh resah dan kesusahan rakyat yang terjejas pendapatan mereka akibat penularan wabak ini. Ada yang tidak dapat bekerja seperti biasa, malah ada juga yang diberhentikan kerja apatah lagi bagi mereka yang kurang berkemampuan.

“Situasi ini pastinya memberi kesan kepada kehidupan seharian anak-anak. Sebagai agensi yang berperanan menjadi tabung pendidikan negara yang sentiasa dekat dengan masyarakat, PTPTN terpanggil untuk menyumbang agar dapat mengurangkan beban yang ditanggung mereka,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid pula berkata, secara keseluruhannya, melalui sumbangan ini, setiap keluarga asnaf yang dikenalpasti akan menerima sumbangan berjumlah RM200 berupa barangan keperluan harian bernilai RM100 dan RM100 lagi diberikan dalam bentuk akaun SSPN-i kepada seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah dalam keluarga asnaf tersebut.

“Kami yakin DANA KITA sebagai pertubuhan kebajikan yang bergiat aktif dalam agihan sumbangan dan melaksanakan program-program amal akan dapat membantu PTPTN bagi merealisasikan hasrat murni ini,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Dalam pada itu, Mohd Fadli pula memberitahu, kerjasama dengan agensi kerajaan dan korporat merupakan salah satu
program outreach DANA KITA untuk tahun 2020.

“Ia sangat membantu DANA KITA bagi melaksanakan program-program di lapangan. Kami amat berbesar hati dengan
kerjasama yang terjalin dan akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan program ini.

“Diharapkan dengan penglibatan DANA KITA sebagai pemudahcara dapat mengubah stigma masyarakat terhadap PTPTN yang hanya menguruskan pinjaman tetapi sebenarnya turut menyediakan skim simpanan pendidikan dan prihatin dalam
membantu masyarakat,” katanya.

Bagi melancarkan pemberian sumbangan itu, Skuad PTPTN Prihatin akan turun padang bersama sukarelawan DANA KITA bagi membantu mengurus dan menyelaras agihan sumbangan ini.

Agihan sumbangan ini dijangka bermula pada bulan Disember ini dan berakhir pada Mac 2021.

Pada Jun lalu, ketika negara berdepan gelombang pertama pandemik ini, PTPTN telah turut tampil memberikan sumbangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membantu petugas barisan hadapan dengan menyumbangkan 1,000 peralatan perlindungan diri (PPE) dan 10 set powered air purifying respirator (PAPR) yang bernilai RM160,000.

Selain itu, PTPTN turut menyumbang set berbuka puasa dan kuih raya untuk pasukan barisan hadapan yang menjaga sekatan jalan raya dengan peruntukan sebanyak RM77,00.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast