Gadis yang mengalami masalah obesiti, Nurul Aira Wani Nazira Ibrahim, 23, atau dikenali sebagai Wani Comel bercakap kepada media yang mendakwa ditipu kontrak menjadi duta produk kurus oleh Pengasas Kosmetik popular di Faroz Cafe, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 04 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Wani Comel yang dilanda kontroversi sejak kebelakangan ini menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang cuba memfitnah dan melontarkan kata-kata kesat terhadapnya.

Menerusi akaun instagram, Wani atau Nurul Airawani Nazira Ibrahim, 23, berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis termasuk aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekiranya tindakan sebegitu tidak berhenti dalam tempoh 24 jam.

“Salam semua, setelah banyak ruang yang Wani berikan terlalu banyak pihak yang tak henti-henti mengacau hidup Wani dengan pelbagai kata-kata kesat dan tak kurang juga ada yang mendoakan Wani mati.

”Dan selepas pengumuman yang dibuat oleh Peguam Wani, di sini sekali lagi Wani ingin menasihatkan agar mana-mana individu yang Tag wani dengan cubaan gangguan-gangguan, fitnah-fitnah, cacian, makian, hinaan dan apa-apa perkara negatif lain termasuk body shaming Wani, Wani sendiri akan membuat laporan polis dan laporkan kepada pihak SKMM biarpun tempoh 24 jam tersebut belum tamat kerana Wani berhak berbuat demikian demi diri Wani.

“Pihak SKMM berhak dan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap anda sekiranya laporan tersebut selaras dengan mana-mana kesalahan di bawah akta, akaun INSTAGRAM anda boleh dipadam serta merta dan anda akan didakwa oleh pihak SKMM,” tulisnya.

Sehubungan itu Wani mengingatkan semua pihak khususnya para warganet tidak sewenang-wenangnya melontarkan kata-kata kesat terhadap dirinya di laman sosial.

Wani gadis yang mengalami masalah berat badan keterlaluan, baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila membuat sidang media mendakwa haknya sebagai duta produk kurus keluaran D’Herbs diabaikan.

Beliau juga mendakwa usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman tidak menunaikan janji-janji dalam kontrak yang ditandatanganinya ketika menjadi duta pada tahun lalu.

Lantaran itu, Wani menuntut pampasan ratusan ribu ringgit daripada Aliff, selain meminta dilepaskan sebagai duta.

Walau bagaimanapun Aliff dalam sidang media baru-baru ini menegaskan beliau tidak pernah berjanji untuk memberikan kereta, rumah dan menyara kehidupannya serta keluarga.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast