Iran giat mengenal pasti dalang di sebalik pembunuhan Mohsen Fakhrizadeh pada 27 November lalu, foto Reuters

DUBAI – Beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan saintis nuklear terkemuka Iran bulan lalu telah ditangkap, kata seorang penasihat kepada Ketua Parlimen Iran, lapor agensi berita ISNA.

Iran menuduh Israel memainkan peranan dalam pembunuhan Mohsen Fakhrizadeh pada 27 November lalu kerana saintis itu dilihat sebagai dalang program senjata nuklear Iran yang tersembunyi.

Tehran konsisten menafikan penglibatan dalam program senjata nuklear.

Setakat ini, Israel tidak menjawab segala tuduhan yang dibuat oleh Tehran.

“Beberapa pelaku pembunuhan ini telah dikenal pasti, bahkan ditangkap oleh pihak keselamatan. Mereka ini tidak akan terlepas daripada diadili.

”Adakah Zionis (Israel) dapat melakukan ini sendirian dan tanpa kerjasama, misalnya, perkhidmatan Amerika Syarikat (perisik) atau perkhidmatan lain? Mereka pasti tidak dapat melakukannya,” kata Amir-Abdollahian.

Terdapat maklumat bertentangan mengenai kematian Fakhrizadeh dalam serangan ke atas kenderaannya yang dinaikinya semasa berada di jalan raya berhampiran ibu negara Tehran.

Seorang komander kanan Pengawal Revolusi mendakwa pembunuhan itu dilakukan dari jarak jauh dengan menggunakan kecerdasan buatan dan mesingan yang dilengkapi dengan “sistem pintar yang dikendalikan oleh satelit”.

Saksi-saksi sebelum ini memberitahu televisyen sebuah trak meletup sebelum sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah kereta Fakhrizadeh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast