Saarani Mohamad

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baharu di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, esok.

Datuk Pengelola Bijaya DiRaja kepada Sultan Perak, Kolonel (B) Datuk Abd. Rahim Mohamad Nor berkata, pada pertimbangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Saarani boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ADUN untuk dilantik sebagai Menteri Besar.

Ia berpandukan Perkara XVI, Fasal 2(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, ujar beliau.

“Baginda menetapkan 24 Rabiulakhir 1442 bersamaan 10 Disember 2020, jam 11 pagi untuk istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah, Perak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada Sabtu lalu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berikutan kegagalan memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadapnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diadakan pada jumaat lalu.

Beliau hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

Usul itu dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) atas alasan untuk membuktikan Ahmad Faizal mempunyai sokongan padu daripada semua 59 ADUN sebagai seorang Menteri Besar.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional yang kesemuanya UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3), PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu.