Pendakwah selebriti, Da'i Syed Shah Iqmal diiring oleh anggota polis ketika tiba untuk pendakwaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Foto AFIQ HAMBALI, 10 DISEMBER 2020.

PETALING JAYA – Tidak sampai sejam didakwa kes seks luar tabie, selebriti Syed kemudiannya didakwa lagi di atas pertuduhan kedua iaitu mencabul.

Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Pertuduhan itu memperuntukan hukuman penjara 10 tahun jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berusia 25 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir.

Berdasarkan kertas pertuduhan kedua itu, lelaki itu didakwa atas tuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 22 tahun di rumah sewa tertuduh di Empire City, Damansara Perdana antara jam 3 pagi hingga 5 pagi pada 17 Oktober lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris berkata, status pendakwah bukan syarat untuk membenarkan ikat jamin ke atas tertuduh.

Namun sekiranya dibenarkan, wang jaminan adalah RM100,000, tegas beliau.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Syed Amirul Syed Edros dalam hujahan rayuannya memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan tertuduh tidak memiliki pendapatan sejak empat bulan dan menyara keluarga sejak tahun 2017 selepas bapanya meninggalkan mereka.

Mohd Ikhwan kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Selesai prosiding di sini, Syed yang juga penyanyi dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atau merogol.

Bekas peserta program realiti Islamik, Da’i Pendakwah Nusantara di TV3 pada tahun 2016 itu berada dalam reman sejak 27 November lalu.

Tempoh tahanan remannya telah dilanjutkan sebanyak dua kali bagi membantu siasatan.

Siasatan yang dijalankan oleh pihak polis membabitkan pelbagai kesalahan seksual seperti Seksyen 376 (rogol), Seksyen 354 (cabul), Seksyen 377 (seks luar tabii) dan Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan).

Sehingga hari ini, terdapat sembilan laporan polis telah dibuat di Shah Alam dan Petaling Jaya terhadap pendakwah selebriti itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Syed didakwa pertuduhan seks luar tabie

1 Komen

Comments are closed.