Da'i Syed Shah Iqmal diiring anggota polis ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan rogol dan cabul di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. foto AFIQ HAMBALI, 10 DISEMBER 2020.

PETALING JAYA – Selebriti, Syed didakwa di mahkamah hari ini atas pertuduhan seks luar tabie selepas 13 hari direman sejak 26 November lalu.

Pendakwaan ke atas Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalull mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan atau seks luar tabie di Mahkamah Seksyen di Komplek Mahkamah Petaling Jaya di sini.

Pertuduhan itu memperuntukan hukuman penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berusia 25 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa atas tuduhan melakukan persetubuhan luar tabie terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 22 tahun di rumah sewa tertuduh di Empire City, Damansara Perdana antara jam 3 pagi hingga 5 pagi pada 17 Oktober lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, P. Vitiya Monisha tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan membantah sebarang permohonan ikat jamin kerana membabitkan kesalahan serius serta pada masa sama dia sedang disiasat kes lain.

“Sekiranya jaminan dibenarkan tertuduh akan mengganggu mangsa kerana saling mengenaki dan kes-kes lain yang sedang disiasat,” katanya.

Vitiya berkata, sekiranya jaminan dibenarkan pendakwaan memohon jumlah RM100,000 diberikan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Syed Amirul Syed Edros dalam hujahan rayuannya memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan tertuduh tidak berisiko untuk melarikan diri dan telah memberi kerjasama sejak disiasat polis.

Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain Syed perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap 1 haribulan dan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga tariku perbicaraan yang bermula 19 Februari depan.

Sementara itu, tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret pula untuk pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atau cabul di kompleks mahkamah sama.

Selesai prosiding di sini, Syed yang juga penyanyi akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atau merogol.

Bekas peserta program realiti Islamik, Da’i Pendakwah Nusantara di TV3 pada 2016 itu berada dalam reman sejak 27 November lalu.

Tempoh tahanan remannya telah dilanjutkan sebanyak dua kali bagi membantu siasatan.

Siasatan yang dijalankan oleh pihak polis membabitkan pelbagai kesalahan seksual seperti Seksyen 376 (rogol), Seksyen 354 (cabul), Seksyen 377 (seks luar tabii) dan Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan).

Sehingga hari ini, terdapat sembilan laporan polis telah dibuat di Shah Alam dan Petaling Jaya terhadap pendakwah selebriti itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.