Dua gol pada separuh masa pertama menerusi Karim Benzema membantu kemaraan Real Madrid ke peringkat 16 saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21.

STEFANO- Dua gol pada separuh masa pertama menerusi Karim Benzema membantu kemaraan Real Madrid ke peringkat 16 saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21.

Los Blancos berjaya menundukkan wakil Jerman, Borussia Mönchengladbach 2-0 di Alfredo Di Stefano awal pagi tadi seperti laporan portal Semuanya Bola hari ini.

Kemenangan itu nyata memberikan kelegaan buat Zinedine Zidane kerana skuad bimbingannya wajib menang ke atas Mönchengladbach sekiranya mahu mengelak daripada tersingkir buat pertama kali daripada persaingan ke peringkat kalah mati.

Kekecewaan tunduk di tangan Shakhtar pada minggu lalu segera dilupakan barisan pemain Real Madrid yang dilihat lebih kemas mengawal permainan dan mencipta banyak peluang jaringan berbanding pasukan lawan.

Segalanya berada di landasan tepat buat skuad tuan rumah apabila hantaran lintang Lucas Vasquez dari sebelah kiri pintu gol Mönchengladbach seawal minit kesembilan ditanduk masuk Benzema bagi menewaskan penjaga gol berpengalaman, Yann Sommer.

Kelebihan itu dilebarkan Karim Benzema pada minit ke-32 apabila tandukannya setelah menerima hantaran lintang dari Rodrygo sekali lagi gagal dihalang Sommer bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Tidak mahu gawangnya daripada terus dibolosi, Sommer selepas itu tampil dengan lebih cemerlang dengan menafikan beberapa peluang keemasan Real Madrid yang semakin bernafsu untuk menambah jaringan.

Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan dan Mönchengladbach nyata cukup bertuah dapat mengiringi Real Madrid ke peringkat 16 selepas satu lagi perlawanan melibatkan Shakhtar Donetsk berkesudahan terikat 1-1.

Keputusan itu menyaksikan Shakhtar bakal beraksi di saingan Liga Europa manakala Inter Milan hampa menamatkan kempen UCL musim ini di tangga terakhir.- MalaysiaGazette