Nik Akif Syahiran Nik Mat

KUALA TERENGGANU – Selepas Faisal Halim dan Shahrul Nizam, kini giliran Nik Akif Syahiran Nik Mat pula menyertai Skuad Penyu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Terengganu FC (TFC) dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan pemain yang sebelum ini beraksi bersama Kelantan itu akan beraksi selama dua tahun untuk Skuad Penyu bermula 2021 dan beliau akan menyarung jersi bernombor 22.

“Kehadiran beliau yang memiliki kualiti sebagai seorang ‘pemain tengah’ dilihat mampu untuk memperkuatkan lagi barisan pemain TFC musim depan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam kenyataan yang sama pemain kelahiran Kelantan berusia 21 tahun itu berkata penyertaannya dalam TFC adalah sesuatu yang amat bermakna dan beliau ingin mencari cabaran yang baharu.

“Sikap profesional dari setiap aspek pengurusan pasukan (TFC) turut menjadi salah satu faktor yang memikat hati saya untuk menabur bakti di bumi Terengganu,” katanya yang juga merupakan tonggak pasukan bawah 23 tahun Malaysia.

TFC sebelum ini mengumumkan Mohd Faisal Abdul Halim, bekas tonggak Pahang dan Shahrul Nizam Ros Hasni yang sebelum ini beraksi untuk Kelantan akan bersama pasukan itu bagi tempoh dua tahun bermula tahun depan.- BERNAMA